![]() |
| Carta 1: Paras Terendah KLCI 1 Sept 1988 |
![]() |
| Carta 2: Paras Terendah KLCI 1 Sept 1988 |
![]() |
| Carta 3: Paras Tertinggi KLCI |
petang mukaku menunggu cahaya...

![]() |
| Carta 1: Paras Terendah KLCI 1 Sept 1988 |
![]() |
| Carta 2: Paras Terendah KLCI 1 Sept 1988 |
![]() |
| Carta 3: Paras Tertinggi KLCI |
Sumber Gambar - pecahpalakmikir.blogspot.com Lebih RM400j untuk laksana pembangunan di Sri Aman
Utusan BorneoSRI AMAN (22 Feb 2013): Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjelaskan bahawa kerajaan pusat sudah memperuntukkan lebih RM400 juta untuk pelaksanaan beberapa pembangunan mega di Sri Aman dalam tempoh tiga tahun sebelum ini.
Sehubungan itu beliau menyeru rakyat di Sri Aman agar terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan Sri Aman terus maju pada masa akan datang.
“Untuk memastikan Sri Aman terus membangun sokongan kepada calon BN yang bertanding di Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti adalah penting,” katanya.
Taib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sri Aman, semalam.
Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara projek mega yang sudah dan sedang dilaksanakan di Sri Aman ialah Hospital Sri Aman yang bernilai lebih RM200 juta, naik taraf Loji Rawatan Air Bayai (RM43 juta) dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RM160 juta).
Sementara itu menurut Taib untuk merancakkan lagi pembangunan di Sri Aman, beberapa batang jalan raya ke luar bandar sekitar Sri Aman perlu dibina bagi memajukan tanaman ladang kelapa sawit secara komersil.
“Saya sedar kerajaan sudah melaksanakan industri tanaman padi secara komersil tetapi ia kurang mendapat keuntungan berbanding dengan tanaman lain seperti kelapa sawit,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu isteri Najib iaitu Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Taib Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat dan menteri –menteri kabinet Sarawak.
Anwar Tidak Sambut Cabaran Najib Tubuh Kabinet BayanganKUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyahut cabaran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan kabinet bayangan, sebaliknya berkata kabinet bayangan hanya sesuai diamalkan di United Kingdom (UK) dan Australia.
Pendirian Anwar jelas bertentangan dengan kenyataannya pada 2008 bahawa beliau mahu membentuk kabinet bayangan sebagai alternatif kepada kerajaan Barisan Nasional yang didakwanya tidak stabil ketika itu.
"Kabinet bayangan ini tidak menjadi amalan politik di Amerika, Perancis, Thailand dan Indonesia.
"Siapa yang bakal jadi menteri dan timbalan menteri adalah senarai kepimpinan kanan ketiga-tiga parti (Pakatan Rakyat) jika mereka memenangi kerusi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.
Semalam Perdana Menteri mencabar Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan kabinet bayangan sebelum berangan-angan menubuhkan kerajaan sebenar dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
-- BERNAMA
Penduduk Kampung Assyakirin bersyukur, bangga bakal dikunjungi PM
Utusan Borneo 11 September 2012, Selasa
BINTULU: Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kampung Assyakirin Fasa 1 bagi meraikan Majlis MerdekaRaya sekali gus meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Bintulu membawa makna yang cukup besar buat penduduk kampung itu bahkan rakyat di bahagian Bintulu khasnya dan Sarawak amnya.
Rata-rata penduduk berasa bersyukur dan berbangga kerana diberi penghormatan menjadi destinasi utama Perdana Menteri meraikan Merdeka Raya pada petang sebelum meraikan sambutan Hari Malaysia di tapak lapangan terbang lama pada malamnya.
Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1 Pengiran Hamdan Pengiran Kerta, 61, berkata beliau amat bersyukur dan bangga kerana kampungnya dijadikan tempat kunjungan Perdana Menteri bagi meraikan Majlis Merdeka Raya.
“Kunjungan Perdana Menteri merupakan satu penghormatan kepada Kampung Assyakirin dan saya amat berterima kasih atas sokongan penduduk yang memberi sumbangan tenaga dan idea untuk sama-sama menyerikan sambutan itu.
“Pemilihan Bintulu untuk meraikan sambutan Hari Malaysia juga merupakan satu penghormatan besar untuk bahagian ini,” katanya.
Katanya penghargaan juga kepada Residen Bintulu kerana memberi kepercayaan penuh kepada mereka untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti paling besar pernah diadakan di kampung mereka lebih-lebih lagi apabila dikunjungi oleh pemimpin nombor satu negara.
Beliau yang lahir sebelum merdeka berkata, Hari Malaysia amat bermakna apabila melihat keadaan sebelum merdeka meskipun aman tetapi kurang pembangunan.
Manakala seorang penduduk Saffiee Semat, 55, yang lahir pada tahun merdeka pada 22 Disember 1957 berkata beliau amat berbangga menyambut Hari Malaysia tahun ini memandangkan kampungnya terpilih untuk sambutan hari yang cukup bersejarah itu.
“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana pemilihan itu dan pelbagai kaum akan menghadiri majlis di kampung kami pada 16 September ini bagi meraikan Merdeka Raya dan sambutan Hari Malaysia di Bintulu sekali gus menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan negara dan memperlihatkan semua kaum bersatu.
“Sebagai penduduk, kunjungan Perdana Menteri itu cukup bermakna dan membanggakan kami dan saya seperti tidak percaya kampung kami akan dikunjungi oleh pemimpin nombor satu negara,” jelasnya.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (AJKKK) terbabit, Abdul Hakim Hassan, 52, pula berkata sebagai penduduk kampung dan rakyat Bintulu beliau amat terharu Perdana Menteri dan rombongannya akan hadir ke kampungnya.
“Kami bangga kerana kampung kami dipilih sebagai tempat untuk meraikan Merdeka Raya bersama Perdana Menteri,”katanya.
Justeru beliau menyeru penduduk Kampung Assyakirin Satu, Dua dan Tiga untuk hadir beramai-ramai meraikan sambutan majlis itu serta menyambut kedatangan Perdana Menteri pada 16 September ini.
“Kalau 1Malaysia Boleh, kita mahu 1Assyakirin Boleh dalam meraikan majlis sambutan bersama Perdana Menteri ini,” katanya.
Sementara itu, Abang Shariee Abang Mahrop, 65, berkata sambutan Hari Malaysia untuk peringkat daerah Bintulu pernah diadakan pada 16 September 1963 di Padang Sentral Lama di sini dan pada waktu itu beliau diamanah untuk menaikkan bendera Malaysia dan seterusnya menurunkan bendera Union Jack.
“Dan hari ini saya amat bersyukur, sekali lagi Bintulu dipilih tetapi membabitkan sambutan peringkat pusat serta menjadi tumpuan seluruh negara untuk sambutan besar-besaran Hari Malaysia pada 16 September ini dan amat bangga kerana dapat melihat sekali lagi sambutan itu,” katanya.
Sebagai rakyat Bintulu yang lahir sebelum merdeka katanya, beliau amat bersyukur kerana Sarawak dapat sama-sama menubuhkan Malaysia bersama Sabah dan Semenanjung Malaysia yang menjadikan negara ini bebas sebelum Jepun menyerah kalah dan selepas penjajahan British.
“Saya telah melihat perbezaan zaman sebelum merdeka dan selepas Jepun menyerah kalah dalam peperangan sebelum Malaysia dibentuk.
“Perubahannya sangat ketara. Pada zaman pemerintahan British kami menyanyikan lagu kebangsaan penjajah `God Save The Queen’ manakala pegawai-pegawai daerah dan pemimpinnya kebanyakannya diterajui oleh orang Inggeris sekitar tahun 1961 sebelum pembentukan Malaysia.
“Tetapi selepas merdeka kita tidak menyangka orang kita sendiri dapat menjadi pemimpin dan memegang jawatan pentadbiran daerah dan negeri,” katanya.
Mewakili golongan belia kampung, Mohamad Zaifulfadillah Junaidi, 31, pula menyatakan rasa gembira, syukur dan berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana memilih Kampung Assyakirin Fasa 1 sebagai tempat sambutan Majlis Merdeka Raya dan seterusnya memilih bahagian Bintulu untuk sambutan Hari Malaysia.
“Saya tidak sabar menunggu untuk menyambut detik bersejarah itu kerana sambutan itu adalah julung kali pernah diadakan di sini,” katanya.
Sebagai belia katanya, beliau amat berterima kasih kepada pejuang terdahulu yang berjuang untuk kemerdekaan negara kerana tanpa mereka mungkin tidak akan wujud Malaysia pada hari ini sebagai negara yang berdaulat.
“Slogan 1Malaysia amat tepat dan berpatutan disebabkan Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah mempunyai rakyat berbilang kaum.
“Saya turut berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin membina gelanggang futsal 1Malaysia di kampung kami dan amat bertepatan dengan tema pada tahun ini `Janji ditepati’.
“Disebabkan itu saya menyeru seluruh warga belia di Bintulu untuk sama-sama menghayati erti kemerdekaan dan Hari Malaysia ini serta menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri bersama Perdana Menteri,” katanya.
“Penghargaan juga kepada pemimpin yang memberi kepercayaan untuk belia kampung terlibat sama sekali gus memberi semangat kepada kami dalam program sambutan itu,” katanya.
Bekas tentera darat yang pernah berkhidmat 10 tahun dari tahun 1967 hingga 1977, Ramli Wahab, 64, pula berkata beliau bersyukur sambutan Hari Malaysia diadakan di Bintulu.
“Sebagai bekas tentera yang pernah berkhidmat di sempadan Sarawak, Sabah, Malaysia-Thai pada zaman pemberontakan Komunis saya bersyukur kerana masih dapat meraikan Hari Malaysia hari ini dan amat bernasib baik selamat semasa berkhidmat dalam tentera,” katanya.

Bonus setengah bulan
Utusan Borneo 26 Julai 2012, Khamis
Bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam, RM500 kepada pesara
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memberi manfaat kepada seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada semua penjawat awam dan pesara kerajaan.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan,” katanya.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.
Sementara itu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus dan Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap dedikasi penjawat awam serta pesara kerajaan.
“Pemberian bonus dan bayaran khas ini memang sungguh bermakna khasnya kepada penjawat awam yang berpendapatan sederhana terutama bagi membuat persiapan perayaan (Aidilfitri) yang bakal tiba,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Omar turut berharap penjawat awam dan pesara kerajaan akan menggunakan pemberian bonus dan bayaran khas itu dengan sebaik-baiknya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata bayaran khas itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap para pesara yang dahulunya pernah berkhidmat dan berkorban tenaga dalam proses pembangunan negara.
Katanya ini menunjukkan Najib seorang pemimpin yang bersikap mulia dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam serta pesara kerajaan.
Pesara kerajaan hendaklah menggunakan bonus secara berhemah dan berjimat cermat untuk melakukan perkara yang berfaedah, katanya.
Bagi penjawat awam yang masih berkhidmat, beliau menasihati mereka harus tekun bekerja dan taat kepada kerajaan supaya dapat melaksanakan hasil yang dapat diterjemahkan untuk kejayaan negara. — Bernama
Swasta dan kerajaan perlu bekerjasama - PM
KUALA LUMPUR 20 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sektor swasta dan kerajaan perlu bekerjasama bagi memastikan daya tahan ekonomi Malaysia diperkukuhkan lagi bagi menampan apa sahaja kesan yang bakal diterima dari ekonomi global.
Katanya tinjauan ekonomi global yang muram dan kegawatan kewangan yang berlaku di zon euro dijangka memberikan risiko yang serius terhadap ekonomi dunia.
“Kita perlu memastikan ekonomi negara berada pada kedudukan paling kukuh bagi mengharungi kegawatan ekonomi global."
"Kita perlu berusaha bermati-matian bagi mengukuhkan daya saing produk dan perkhidmatan Malaysia dan meraih peluang baharu di pasaran bukan tradisi bagi mengekalkan prestasi eksport," katanya semasa menyampaikan ucaptama semasa Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) ke-66 di sini hari ini.
Najib berkata sektor swasta dijangka memainkan peranan yang semakin meningkat di dalam membentuk iklim pelaburan.
“Saya akan mengumumkan satu siri insentif pelaburan dari semasa ke semasa bagi menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik.
Beliau berkata krisis yang berlaku di zon euro dan kemelesetan di dalam ekonomi AS membahayakan keyakinan perniagaan dan pasaran.
“Sebarang bentuk ketidaktentuan atau ketidakstabilan akan mendorong kepada risiko perniagaan yang lebih meluas," katanya. - BERNAMA
Anda dinasihat agar tidak mengakses sebarang maklumat jika terdapat ketidaksesuaian, dan tinggalkan laman ini dengan serta-merta.
Semua catatan di blog ini hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak, individu atau parti politik.
MUKAPETANG tidak bertanggungjawab kepada anda, atau sesiapa sahaja yang membuat sebarang tuntutan bagi kehilangan, kemusnahan (secara langsung atau tidak langsung), kos, liabiliti atau gantirugi terhadap ketidaktepatan, hakcipta serta kesilapan maklumat/media yang terdapat dalam blog ini.
Copyright 2010 MUKAPETANG™
Designed by CamelGraph |
Bloggerized by Lasantha - Premiumbloggertemplates.com
Top Web Hosts | Web Development by WebDesigningCompany.Net | websites for accountants