KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Ketua
Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud kelihatan sudah bersiap sedia untuk
menerajui Barisan Nasional (BN) Sarawak menghadapi pilihan raya negeri,
walaupun beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mungkin akan
berundur apabila tiba masanya.
Pendapat ramai di Sarawak ketika ini ialah beliau sememangnya pemimpin untuk
Sarawak ketika ini.
Seorang penulis terkenal Amerika Denis Waitley pernah berkata: Ada dua pilihan
utama dalam kehidupan, iaitu untuk menerima keadaan mengikut seadanya, atau
mengambil tanggungjawab untuk mengubahnya.
Nampaknya anggota Parti Pesaka
Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mahu menggoncang kestabilan, kerana mereka
berpendapat hanya beliau sahaja yang mampu mengekalkan perpaduan di kalangan
pemimpin-pemimpin parti komponen dalam BN Sarawak.
Kriteria itu merupakan perkara penting
untuk menerajui negeri dan mesej ini jelas disuarakan oleh mesyuarat Majlis
Tertinggi PBB di Kuching Ahad lepas, sekaligus menggambarkan kedudukan kukuh
Taib dalam parti.
Menurut satu sumber parti,
pemimpin-pemimpin penting PBB bimbang sekiranya Taib yang menjadi Ketua Menteri
Sarawak sejak 1981 mengundurkan diri sebelum pilihan raya negeri, ia mungkin
menggugat kestabilan parti dan juga BN Sarawak.
"Ramai di kalangan anggota BN
Sarawak bimbang sekiranya Taib tidak cukup mantap untuk menerajui pilihan raya.
Apa sahaja pendapat anda tentangnya, dia mempunyai kepimpinan uang kukuh bagi
memastikan segalanya berjalan lancar semasa pilihan raya, dan jentera pilihan
raya bersatu di bawah satu pentadbiran," katanya.
"Sekiranya Taib mengambil keputusan
untuk berundur sekarang, bagaimana penggantinya dapat mengekalkan perpaduan
dalam parti, terutama dalam menangani isu-isu seperti calon berpotensi dan
permainan politik dalaman yang akan memberi kesan terhadap jentera semasa
tempoh berkempen?" tambahnya.
Beliau berkata sebarang keputusan
terlalu awal di pihak Taib untuk berundur ketika ini pastinya akan menggugat
kestabilan parti.
Keadaan ini secara tidak langsung
memberi penjelasan kepada tindakan timbalan presiden parti PBB Tan Sri Alfred
Jabu yang mengumumkan bahawa 71 cawangan PBB menyuarakan ikrar taat setia
kepada Taib untuk terus memimpin sebagai Ketua Menteri, Pengerusi BN Negeri dan
Presiden PBB.
Katanya kepimpinan Taib amat penting dan diperlukan bagi mengekal kestabilan
politik Sarawak, keamanan, keharmonian serta perpaduan yang tidak tergugat, dan
kerajaan negeri memerlukan Taib untuk mengekalkan disiplin bagi memastikan
kerjasama kukuh antara parti-parti komponen BN Sarawak, di samping menjanjikan
prestasi yang cemerlang dan berintegriti dalam BN.
Satu lagi sumber dalaman parti berkata
Taib sendiri memberi taklimat kepada anggota Majlis Tertinggi Ahad lepas
mengenai rancangan bagi menggantikan tempatnya dan memberi penjelasan mengenai
kontroversi yang timbul ekoran kenyataan beliau sebelum ini menegnai
kesanggupannya untuk berundur.
Tidak ada anggota Majlis Tertinggi yang
sanggup memberi komen mengenai rancangan itu kecuali berkata mereka memberi
sokongan penuh kepada Taib untuk terus menerajui negeri dan parti.
Antara yang dilihat berpotensi menjadi pengganti Taib ketika ini selain Jabu
ialah Timbalan Presiden II Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg, dan Naib
Presiden kanan 1 Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.
Bagaimanapun masih ada kemungkinan lain
yang tidak boleh diketepikan.
Contohnya Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu yang baru dilantik sebagai
penasihat khas kepada pejabat Ketua Menteri yang bertanggungjawab kepada hal
ehwal awam pada 2 April lepas yang memberikan beliau setaraf dengan menteri,
Datuk Seri Adenan Satem.
Pelantikan bekas Menteri Sumber Asli
dan Alam Sekitar itu sebagai penasihat khas kepada Taib turut mencetuskan
cakap-cakap politik dalam arena politik negeri.
Adenan sebelum ini pernah disebut-sebut
untuk menggantikan Taib, namun beliau dikatakan tidak sefahaman dengan Ketua
Menteri pada tahun 2006, dan sejak itu beliau 'menghilangkan diri' buat
seketika.
Sebelum ini ada beberapa pemimpin PBB yang dikatakan berpotensi untuk mengambil
alih teraju kepimpinan, antaranya termasuk Allahyarham Tan Sri Dr Sulaiman
Daud, Datuk Seri Effendi Norwawi, Datuk Bujang Ulis dan Datuk Abang Abu Bakar
Mustapha, bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan.
Pada tahun 2006, Taib memberi petunjuk
bahawa beliau akan kekal sebagai Ketua Menteri untuk penggal semasa yang akan
berakhir Jun tahun depan.
Bagaimanapun bagi pilihan raya
berikutnya, ketika ini nampaknya Taib akan terus menjadi kata pemutus kepada
kepimpinan negeri.
mukapetang: Lega! Berkat kepimpinan Taib nescaya BN tetap akan berkubu di Sarawak. Selagi nyawa dikandung badan selagi itulah Taib akan berbakti kepada Sarawak!!!!
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!