by Sandy Mark Luna. Posted on October 13, 2010, Wednesday
KUCHING: Fenomena himpunan kayu hanyut di Sungai Rajang yang menghebohkan negeri bermula Khamis lepas, memusnahkan dua buah jambatan pembalakan dan lima jeti sekali gus mencatatkan jumlah kerugian berjumlah RM2.7 juta.
Dalam sebuah sidang media di sini, semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan memberitahu jumlah tersebut merupakan yang paling ketara setakat ini dan berharap punca fenomena luar biasa itu berlaku dapat diketahui tidak lama lagi.
“Buat masa ini, saya tidak dapat memberi penjelasan. Saya tidak mahu meneka punca ia berlaku, namun akan menjelaskan perkara tersebut apabila fakta-fakta dapat dikumpul,” katanya.
Jambatan pembalakan yang terjejas adalah di Baleh iaitu di kawasan Kem Malatai Heli dan jeti Klinik Nanga Entawau, rumah panjang Nanga Entawau, Sekolah Kebangsaan Sembilik, Nanga Entelawan dan rumah panjang Nanga Sempilik.
Dr Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri tidak dapat memastikan fenomena itu sama ada disebabkan cuaca buruk di negeri pada masa ini atau disebabkan aktiviti pembalakan haram.
Bagaimanpun, beliau memberi jaminan tindakan segera akan diambil sejurus punca kejadian dikenal pasti.
Sebagai langkah keselamatan pengguna sungai tersebut, katanya Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB) akan meletakkan lampu keselamatan.
“Kayu balak yang separuh tenggelam adalah lebih merbahaya berbanding yang senang dilihat.
“Oleh itu, kayu balak yang separuh tenggelam perlu diletakkan lampu keselamatan untuk memberi amaran kepada pengguna sungai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) atas usaha mereka setakat ini.
1 ulasan:
cuma andaian tanpa bukti bro.
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!