BN pembawa perubahan
by Jessica Jawing. Posted on April 12, 2011, Tuesday
Hanya BN mampu lakukan perubahan terancang untuk bawa Sarawak lebih maju
1MALAYSIA: Antara pengunjung yang membanjiri acara Malam 1Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka, Kuching, malam tadi.
KUCHING: Hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu melakukan perubahan yang terancang dan teratur bagi membawa Sarawak lebih maju ke hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia dibuktikan dengan banyak kemajuan yang dikecapi negeri ini sejak Sarawak berada dalam Malaysia hampir 48 tahun lalu.
“Sehari dua ini kita melihat di merata tempat begitu banyak sepanduk yang menyatakan tentang ‘mahukan perubahan’ tapi perubahan apa? Ia tentu sekali kalau hendak berubah, kita berubah ke arah yang lebih baik.
“Sarawak sejak berada dalam Malaysia 48 tahun lamanya, kita lihat bagaimana Sarawak hari ini membangun dengan pesat,” katanya berucap pada majis Malam 1Malaysia anjuran Pemuda BN Negeri di Padang Merdeka, malam tadi.
Perubahan itu kata Najib adalah hasil daripada kerajaan BN dan ditambah lagi dengan persefahaman kedua-dua kerajaan pusat dan negeri termasuk persefahaman beliau dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
“Saya dan Ketua Menteri (Taib) mempunyai persefahaman yang amat baik dan kita mahu perancangan secara terancang, tersusun bukan perubahan secara segera,” tegasnya.
Beliau dalam pada itu menggesa rakyat di negeri ini agar tidak menggadaikan masa depan mereka dengan termakan hasutan pihak pembangkang yang tidak mempunyai perpaduan.
Katanya ia dibuktikan apabila pembangkang turut menurunkan calon masing-masing bertanding sesama sendiri selain pemilihan parti yang kucar-kacir.
“Jangan gadaikan masa depan, pilihlah kerajaan kita iaitu kerajaan BN kerana kita akan memimpin anda sebaiknya,” ujar Najib.
Mengulas mengenai majlis Malam 1Malaysia katanya ia satu majlis yang akan terus mewujudkan kerjasama antara generasi muda dan generasi masa kini.
Ia katanya supaya apabila tampuk pemerintahan diserahkan kepada generasi muda, pemimpin lama dapat menyerahkan Sarawak sebagai negeri lebih maju dan makmur.
Majlis Malam 1Malaysia turut dihadiri Ketua Menteri, Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof serta menteri-menteri kabinet persekutuan. Lebih 3,000 orang ramai yang mengunjungi majlis itu turut dihiburkan penyanyi tempatan seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz AF7, Anuar Zain dan ramai lagi.
1 ulasan:
BN penipu! negeri/negara bawah BN akan menuju kehancuran dengan rasuah, salah guna kuasa.. bukti di kedah. beban hutang yang terlalu tinggi yang ditanggung kedah semasa bawah BN. Nasib baik Pakatan Rakyat berjaya selamatkan kedah.
FAKTA: (Laporan Audit Negara)
Sehingga penutupan akaun 31 Disember 2010, jumlah Simpanan Tetap Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM268 juta.
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!