Rapatkan jurang kerajaan dan rakyat
by Adib Othman. Posted on Utusan Borneo June 10, 2011, Friday
KUCHING: Jurang maklumat di antara kerajaan dan rakyat perlu dirapatkan bagi mengelak wujud persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan, demikian kata Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
Katanya, kerajaan perlu memikirkan jalan bagi menyampaikan maklumat berkenaan dasar-dasar serta program-program kerajaan kepada rakyat dengan lebih efektif.
“Banyak dasar-dasar dan program-program kerajaan yang sangat baik tetapi ramai di antara masyarakat kita, bukan sahaja di luar bandar tetapi di dalam bandar sendiri begitu daif tentang beberapa aspek berhubung dasar dan program kerajaan.
“Disebabkan itu mereka mempunyai persepsi yang negatif terhadap kerajaan dan ini merupakan cabaran kita,” kata Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan Sejiwa Senada di sini malam kelmarin.
Katanya lagi, rakyat kini mahu terlibat secara langsung dengan perlaksanaan program-program kerajaan. Tambahnya, rakyat kini tidak mahu perancangan-perancangan hanya ditentukan oleh kerajaan dan dilaksanakan terus tanpa mengambil kira pendapat rakyat.
“Mereka (rakyat) mahu sama-sama terlibat dan ini adalah sejajar dengan apa yang hendak kita lakukan iaitu transformasi dalam perkhidmatan kerajaan,” katanya lanjut.
Dalam pada itu, bercakap mengenai program Sejiwa Senada, beliau berkata program tersebut adalah untuk menggemblengkan segala kerjasama yang kukuh di antara agensi-agensi serta jabatan-jabatan kerajaan negeri dan pusat dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Katanya lagi, program tersebut juga memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin untuk turun padang sekali gus mendekatkan diri dengan rakyat.
“Kerajaan dan rakyat adalah merupakan satu gerakan yang yang diikat dengan tali persefahaman yang begitu kuat dan dengan itu, mudah untuk kita melaksanakan apa juga perancangan-perancangan yang hencak kita laksanakan.
“Dan inilah matlamat kita dan syukur Alhamdullilah bahawa melalui program yang telah kita laksanakan, ia telah dapat mencapai ke arah itu, ke arah matlamat yang dapat kita tetapkan,” katanya.
Beliau dalam ucapannya juga mencadangkan agar penganjuran Sejiwa Senada yang akan datang diadakan serentak dengan pesta-pesta tempatan di sesuatu bahagian. Katanya, ia adalah untuk memastikan agar penganjuran program tersebut dapat memberi impak yang lebih mendalam kepada masyarakat.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani yang turut berucap berkata bahawa program Sejiwa Senada telah mencapai objektif iaitu untuk merapatkan kerajaan dengan rakyat.
Jelasnya, kejayaan tersebut dapat dilihat dari sudut bilangan pengunjung ke Pameran Sejiwa Senada yang telah menarik hampir sejuta orang atau dengan lebih tepat lagi 906,543 orang di seluruh bahagian.
Selain itu, beliau turut berkata bahawa Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyarankan agar program tersebut diadakan sekali dalam masa dua tahun dan turut diadakan secara online.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin serta kedua-dua Timbalan Setiausaha kerajaan Negeri Sarawak iaitu Datu Abdul Ghafur Shariff dan Datu Ose Murang.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!