Posted on October 19, 2011, Wednesday
PUTRAJAYA: Setiausaha Kerja Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin berjanji untuk memimpin parti itu selama tiga tahun bagi mengukuh dan mengembalikan sokongan kepada parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
“Saya kata saya akan lakukannya untuk tiga tahun. Itu janji saya. Saya telah diminta oleh akar umbi untuk bertanding. Saya akan menjadi lebih gembira jika saya cuba dan mungkin gagal.
“Setidak-tidaknya saya telah mencuba. Kalau saya tidak menawarkan diri dan bersara terus, malulah saya hendak berdepan dengan ahli-ahli parti,” katanya yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kepada pemberita di sini semalam.
Beliau pada Ahad lalu menyatakan hasrat untuk bertan-ding jawatan presiden SUPP pada mesyuarat perwakilan tiga tahun sekali SUPP dari 8 hingga 11 Disember tahun ini, yang mengejutkan banyak ahli parti dan para penyokongnya.
“Ahli-ahli merasakan saya calon paling sesuai untuk memulihkan semua parti yang kalah teruk pada pada pilihan raya negeri 16 April lalu.
“Saya rasa sekiranya saya lari dan lepas tangan, ia bukan satu penyelesaian. Saya akan menjadi tidak bertanggungjawab sebagai seorang yang sudah lama dalam parti dan mendapat faedah daripada parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Miri.
Seorang lagi pemimpin SUPP yang berhasrat untuk bertanding jawatan presiden ialah Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Negeri. — Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!