Serah rakaman bunyi aneh untuk dianalisis: Fadillah
Posted on January 22, 2012, Sunday
KUCHING: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof meminta sesiapa yang mempunyai rakaman bunyi aneh yang didengari di Samarahan agar tampil menyerahkannya kepada pihak berkaitan untuk membantu kajian.
Katanya, setakat ini mereka telah menghubungi seorang guru, Mohd Ferdauz Jemain, yang memiliki rakaman itu, untuk dikemukakan kepada jawatankuasa yang diketuai oleh Agensi Angkasa Lepas Negara dan dianggotai oleh Jabatan Meteorologi dan pakar-pakar ilmu alam.
“Kita masih mengumpul maklumat daripada sesiapa yang ada maklumat terutamanya rakaman (bunyi aneh) supaya kita boleh buat analisis,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pertandingan Nasyid Belia Terbuka anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Cawangan Petra Jaya, di sini, semalam.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan spekulasi sehingga menimbulkan ketakutan orang ramai.
Malah, katanya, beliau turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan ia petanda berlaku khiamat pada September nanti.
“Janganlah buat khabar angin, memang pelbagai andaian dibuat tapi biarlah pakar-pakar kita kaji apakah perkara tersebut sama ada ia adalah fenomena alam yang mempunyai input saintifik terhadap kejadian itu,” katanya.
Beberapa hari lalu, akhbar tempatan melaporkan satu bunyi aneh telah kedengaran di Kampung Meranek, Kota Samarahan yang mencetuskan ketakutan dan kegelisahan penduduknya.
Tidak lama selepas bunyi itu kedengaran, satu kejadian gempa bumi kuat (7.3 skala Richter) berlaku di Sumatera, Indonesia.
Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kaitannya antara bunyi aneh itu dan kejadian gempa bumi tersebut.
Selain kejadian gempa bumi di Sumatera, ada juga teori yang mengaitkan bunyi aneh itu dengan sebuah program yang dikenali sebagai High Frequency Active Auroral Research Programme (HAARP).
HAARP adalah program penyelidikan berkaitan ionosfera dan dinaungi sepenuhnya oleh Tentera Udara dan Laut Amerika Syarikat (AS), Universiti Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA) AS.
Mohd Ferdauz dipetik sebagai berkata: “Penduduk Kampung Meranek, Kampung Pinang, Kampung Sindang, Kampung Tambirat dan malah yang mereka yang tinggal di kawasan perumahan Desa Ilmu turut mendengar bunyi ngeri yang sama.”
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!