SUPP kenal pasti lima calon boleh menang PRU13: Chin
Utusan Borneo pada Januari 14, 2012, Sabtu
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah mengenal pasti lima daripada tujuh calon boleh menang untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Peter Chin bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon-calon tersebut bagi menjaga sensitiviti parti komponen lain dan Barisan Nasional (BN).
“Kami (SUPP) bertanding sebagai BN dan atas sebab itu, kami mesti sensitif terhadap bila BN akan meluluskan calon-calon yang telah dikenal pasti.
“Meskipun kami telah mengenal pasti calon-calon yang boleh menang, namun kami tidak boleh membelakangkan pucuk pimpinan tertinggi iaitu BN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang pertama di Ibu Pejabat SUPP di sini, semalam.
Ditanya mengenai peluang untuk menang di tujuh kerusi yang akan dipertandingkan, Chin berkata, jenteranya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kemenangan di pihak SUPP.
“Jentera kami sentiasa bersedia dan turun padang dan apa yang boleh saya jaminkan pada masa ini ialah kami, SUPP akan melakukan yang terbaik pada PRU13 akan datang,” katanya.
Pada PRU12, SUPP diperuntukkan tujuh kerusi dan menang enam kerusi selepas tewas di kerusi Bandar Kuching kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Namun, pada Pilihan Raya Kecil Perlimen Sibu, SUPP sekali lagi hilang kerusi kepada calon DAP, Wong Hong Leng menjadikan dua kerusinya milik pembangkang.
Lima kerusi kekal milik SUPP ialah Parlimen Stampin menerusi Datuk Yong Khoon Seng, Serian (Datuk Richard Riot), Sarikei (Ding Kuong Hiing), Lanang (Datuk Tiong Thai) dan Miri (Datuk Seri Peter Chin).
Mengulas mengenai mesyuarat itu semalam, Chin berkata, ia adalah sah dan mereka di peringat CWC komited dengan rancangan transformasi yang telah dibincangkan.
“Kami telah membicangkan pelbagai aspek termasuk isu-isu dibangkitkan oleh Pemuda dan Wanita bagi mencapai matlamat pentadbiran parti,” katanya.
Pada mesyuarat itu semalam, Kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh tidak menghadirkan diri, namun ia tetap diteruskan demi kepentingan parti.
Chin bagaimanapun tetap memberikan peluang sehingga mesyuarat CWC kedua kepada Kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh bagi membolehkan mereka mengisi kekosongan jawatan yang masih tinggal.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!