DAP kenal pasti calon yang sesuai bertanding di P.215 Kapit pada PRU13
Utusan Borneo on 18 Januari 2012, Rabu
KAPIT: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Wong Ho Leng berkata, beliau sudah mengenal pasti calon yang sesuai untuk bertanding di P.215 Kapit, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan berlangsung pada bila-bila masa.
“Kami bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa dan akan mengumumkan calon yang sesuai apabila masanya tiba nanti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Sibu ketika menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di Restoran Chong Seng, di sini malam kelmarin.
Hadir sama Penasihat DAP Pusat Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Cawangan Kapit Janggi Jemut dan kira-kira 250 orang yang lain.
Dalam pada itu, beliau berjanji akan memberikan keutamaan kepada proses pembangunan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang akan menghubungkan Sibu-Kapit dan Belaga, serta bekalan elektrik dan air bersih sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam PRU akan datang.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang prihatin untuk menyediakan kemudahan asas seperti sekolah, jalan raya, bekalan air bersih serta bekalan elektrik untuk rakyat,” katanya.
Ho Leng berkata hasil daripada lawatan beliau ke rumah-rumah panjang orang Iban, hanya tinggal warga emas serta kanak-kanak sahaja yang mendiami rumah panjang.
“Faktor utama ketiadaan golongan belia di rumah-rumah panjang kerana mereka terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk mencari nafkah akibat daripada tiadanya peluang pekerjaan di sini.
“Oleh itu, saya berjanji sekiranya kami (PR) diberikan kepercayaan oleh rakyat kami akan sedaya upaya mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan ini,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!