SUPP perlu bekerja keras hadapi PRU13, kata Yong
by Nick Fletcher. Utusan Borneo 18 Januari 2012, RabuKUCHING: Pasukan kepimpinan baharu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu memperluaskan lagi publisiti di setiap konstituensi yang ditandingi dalam menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang diramalkan tidak lama lagi.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, publisiti adalah langkah berkesan untuk parti yang sedang bergolak itu memberitahu serta menyedarkan rakyat tentang perkara sebenar dalam parti dan bukannya mendengar daripada pihak lain.
“Publisiti terutama melalui teknologi maklumat adalah cara efektif untuk meyakinkan dan menyedarkan rakyat.
“Kita perlu memberitahu apa yang telah parti lakukan untuk rakyat sejak dulu lagi agar rakyat tidak mendengar daripada pihak lain.
“Saya rasa, SUPP tidak ada melakukan dosa dan saya harap rakyat tidak membencinya kerana banyak juga yang telah dilakukan oleh parti kepada mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Yong yang juga Ahli Parlimen Stampin, yang akan bersara daripada dunia politik selepas PRU Ke-13 ini mengulas mengenai harapan dan kemampuan SUPP yang bagaikan akan tersungkur pada pilihan raya kali ini ekoran dibelenggu masalah dalaman selain hilang kepercayaan daripada rakyat.
Beliau juga tidak menafikan bahawa SUPP bakal menghadapi cabaran penuh liku dalam menghadapi PRU ini namun menegaskan parti yang berteraskan kaum Cina itu akan berusaha sedaya upaya untuk memenangi hati rakyat.
“Adalah penting untuk parti menyerapkan wakil-wakil rakyat terutama yang baharu dalam masyarakat kerana mereka dipilih oleh rakyat dan itu harus dihargai,” katanya yang menekankan peranan wakil rakyat yang diinginkan rakyat.
Mengenai pergolakan dalam SUPP melibatkan puak Dato Sri Wong Soon Koh dan Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin, Yong menyarankan supaya kedua-dua pihak berdamai.
“Saya berharap kedua-dua pihak mengambil inisiatif untuk berdamai…sebenarnya, ini hanya perkara kecil cuma ia telah diperbesarkan,” katanya.
Mengenai keputusannya untuk bersara daripada dunia politik, Yong menjelaskan sudah tiba masanya untuk beliau berehat setelah selama 25 tahun iaitu lima penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya mahu balik kepada kehidupan peribadi dan keluarga… sudah sekian lama saya sibuk dengan kerja sehinggakan tidak pernah makan di rumah,” katanya yang tidak pernah gagal menghadiri Persidangan Parlimen dengan merekodkan kehadiran 100 peratus sepanjang tempoh khidmatnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!