KUCHING, 27 Ogos (Bernama) --
Persoalan sama ada masyarakat Cina di
Sarawak tanpa wakil dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) jika Parti
Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memutuskan untuk menarik diri daripada BN,
hendaklah ditujukan kepada presiden parti, kata naib presiden SUPP
Datuk Yong Khoon Seng.
|
Datuk Yong Khoon Seng |
Yong, yang juga Timbalan Menteri kerja Raya berkata beliau tidak wajar
untuk memberikan pandangannya mengenai isu itu pada ketika ini kerana ia
mungkin menjejaskan keseimbangan parti majoriti Cina itu, antara empat
anggota parti campuran di Sarawak.
"Tidak ada arahan agar jangan bercakap tetapi apa sahaja yang
melibatkan keputusan besar parti itu mestilah datangnya daripada
presiden (Tan Sri Dr George Chan)," kata Yong kepada pemberita selepas
melancarkan program "Mempopularkan Kibaran Jalur Gemilang" anjuran
Jabatan Hal Ehwal Khas Sarawak, (Jasa) di India Street Pedestrian Mall
di sini Jumaat.
Bagaimanapun, Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri tidak dapat
dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu kerana beliau
kini sedang bercuti di luar negara.
Semalam, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk
Amar Abang Johari Tun Openg berkata SUPP hendaklah memikirkan dengan
serius mengenai masa hadapan masyarakat Cina di negeri ini sebelum
membuat sebarang keputusan.
Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar,
dilaporkan berkata bahawa sebagai seorang pemimpin Bumiputera, beliau
pasti mahukan masyarakat Cina diwakili dalam kerajaan kecuali SUPP ingin
melepaskan peluang itu.
Dalam menasihati SUPP untuk bekerja keras bagi menawan semula
kepercayaan masyarakat Cina, beliau berkata PBB tidak akan campur tangan
dalam masalah itu kerana SUPP mempunyai pemimpin yang berpengalaman dan
berkemampuan untuk mengatasinya.
SUPP gagal mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya negeri
baru-baru ini sementara ia tewas dalam lapan daripada 19 kerusi yang
ditandingi pada pilihan raya negeri 2006.
Terdahulu Yong berkata beliau yakin bahawa semangat patriotisme dan
nasionalisme di kalangan masyarakat pelbagai bangsa boleh diperkuatkan
menerusi kibaran Jalur Gemilang, khasnya semasa sambutan Merdeka sebulan
itu.
Sebanyak 1,200 bendera diedarkan kepada premis perniagaan di sepanjang
India Street sebagai sebahagian kempen seluruh negara untuk menanamkan
semangat patriotisme di kalangan penduduk bandar.
-- BERNAMA
mukapetang: Biarlah kita menanti apa kata Presiden kelak, isu sebegini memang sensitif tetapi mesti diselesaikan agar dapat bergerak ke hadapan dalam mengharungi PRU kelak.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!