PRIHATIN: (dari kiri) Dr Rahman, Awang Tengah, Dayang Morliah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim |
LIMBANG: Umat Islam di negeri ini bukan saja perlu mempertingkatkan keimanan dan hubungan dengan Allah tetapi juga memperbanyakkan amal kebajikan dan tolong menolong antara satu sama lain.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata amal kebajikan jika dipratikkan dapat merapatkan hubungan sesama masyarakat.
Beliau berkata lagi amal kebajikan yang dilakukan terutama pada bulan Ramadan amat dituntut dalam agama untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
“Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan memperbanyakkan amal kebajikan. Ia amat penting untuk membantu antara satu sama lain, selain meringankan beban mereka yang hidup susah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada penyerahan sumbangan daripada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI), Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) dan Tabung Baitulmal Sarawak di Masjid Besar Limbang semalam.
Hadir sama ialah isteri beliau yang juga Setiausaha SABATI Datuk Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, isteri Dr Rahman Dayang Maimunah Daud dan jemputan lain.
Dalam pada itu Awang Tengah mahu LAKIL bukan saja mempergiat usaha kebajikan malah mampu menyelaras bantuan dan sumbangan daripada agensi lain.
“LAKIL bukan saja berperanan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat Islam tetapi dapat menjalankan aktiviti sosial dan kebajikan yang ada kepentingan untuk masyarakat,”ujarnya.
Beliau menambah melalui LAKIL, hal ehwal Islam termasuk pengurusan masjid dan surau serta tanah perkuburan dapat dijalankan dengan sempurna.
Selain itu katanya dengan adanya pertubuhan seperti ini, ia dapat membuktikan bahawa masyarakat Islam dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat lain.
“Dengan penubuhan LAKIL ini ia memberi landasan terbaik untuk memberi pendidikan agama dan pengetahuan kepada anak-anak Islam di daerah ini.
“Inilah yang kita perjuangkan dalam LAKIL untuk mengharungi pelbagai cabaran yang dihadapi belia termasuk masalah dadah, jenayah dan masalah morality lain,” ujarnya.
Pada masa yang sama Awang Tengah meminta agar umat Islam terus mengelak sebarang perpecahan dan keadaan kacau-bilau seperti yang berlaku di negara luar akibat hasutan dan campurtangan pihak luar.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!