Tan Sri James Masing |
Posted on Utusan Borneo August 14, 2011, Sunday
KUCHING: Tindakan Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS)yang membatalkan perhimpunan mereka semalam sememangnya wajar dilakukan.
Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing menjelaskan, ini kerana Sarawak sememangnya tidak perlu ada perhimpunan haram sedemikian.
“Pembatalan hasrat MoCS mengadakan perhimpunan haram semalam adalah sesuatu yang amat baik.
“Kerana perhimpunan itu tidak ada matlamat perjuangan yang sebenar melainkan untuk mencetuskan pergolakan sosial. Sarawak tidak perlukan itu semua,” katanya kepada Utusan Borneo melalui sistem pesanan ringkas (SMS), semalam.
Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman yang dibuat Ketua MoCS Francis Paul Siah pada Jumaat lepas bahawa, perhimpunan bertemakan ‘Berjalan Untuk Demokrasi dan Reformasi’ yang dija- dualkan pada jam 2 petang semalam, dibatalkan.
Sementara itu, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Stephen Rundi berkata, tindakan membatalkan perhimpunan MoCS itu sememangnya sudah dijangkakan.
“Ia (batalkan) sudah kita jangkakan, kerana kita tahu mereka tidak mendapat sokongan melainkan untuk mencari publisiti murahan,” tegas Dr Rundi.
Dalam pengumuman yang dibuat Jumaat lepas, Siah berkata, pergerakan yang juga digelar ‘Perarakan Merah’ itu meletakkan keselamatan awam sebagai keutamaan.
“Sebagai penganjur, MoCS bertanggungjawab terhadap para peserta. Kami tidak mahu melihat sesiapa cedera di jalanan. Kami juga tidak mahu melihat ada orang ditahan kerana menyertai perarakan,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!