SAMBUTLAH: Chin (kanan) menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Ting (tiga kanan) dan yang lain. |
Tiada kompromi untuk peniaga
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata mereka yang sengaja berbuat demikian hanya akan menyusahkan rakyat dan harus diambil tindakan.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Kita akan mengambil tindakan yang wajar kepada mereka kerana perbuatan mereka hanya akan menyebabkan rakyat berasa terbeban dengan kenaikan harga barang khususnya bulan puasa dan perayaan Hari Raya nanti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan sempena Hari Raya anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) bertempat di Hotel Mega di sini, Sabtu lalu.
Menurut Chin, harga barang keperluan seperti harga makanan asas harus dikawal daripada menerima kesan kenaikan kos pengeluaran yang meningkat dan sekali gus membolehkan rakyat yang berpendapatan rendah turut menikmati makanan berkenaan.
“Bukan semua rakyat hidup dalam suasana yang mewah, ada juga rakyat yang berpendapatan rendah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk menguruskan keluarga. Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan rakyat rasa teraniaya hanya kerana tidak mampu membeli barang keperluan seperti makanan kerana dijual dengan harga mahal,” katanya.
Justeru beliau menasihatkan agar orang awam turut memberikan kerjasama dengan melaporkan mana-mana peniaga yang sengaja berbuat demikian bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan seterusnya.
“Laporkan kepada mana-mana pihak berkuasa tempatan sekiranya anda mendapati ada segelintir peniaga yang sengaja menaikkan harga barang keperluan, supaya boleh diambil tindakan tegas terhadap mereka,” ujarnya.
Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berkata kerajaan turut merancang program untuk meningkatkan keupayaan dan pendapatan rakyat agar tidak dibebani kesan peningkatan kos hidup.
Oleh yang demikian jelasnya, kerajaan telah memutuskan menyenaraikan kos sara hidup tersenarai sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ketujuh bagi memastikan rakyat terus mampu dan tidak dibebani pembelian makanan yang mahal.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 259 penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan anak yatim di sekitar kampung di sini telah menerima sumbangan dan duit raya daripada BAKTI.
Jelas Chin, sumbangan dan duit raya tersebut diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan golongan berkenaan untuk menyambut perayaan yang bakal menjelang.
Dalam majlis yang sama, Chin turut diraikan oleh pihak Hotel Mega dan para tetamu bersempena sambutan hari jadi beliau yang ke-66 pada 31 Ogos ini.
Turut hadir dalam majlis terbabit ialah isteri beliau, Datin Ruby Chin, Setiausaha Politik beliau, Datuk Sebastian Ting, Timbalan Residen Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf, ketua-ketua kampung dan ketua-ketua kaum.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!