Posted on Utusan Borneo August 17, 2011, Wednesday
“Walaupun kita terletak jauh di kawasan pedalaman, namun itu bukanlah alasan untuk kita tidak sama meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan ini untuk menunjukkan penghargaan kepada para pejuang yang telah bertungkus-lumus menuntut kemerdekaan seperti yang kita kecapi kini.
“Sambutan kemerdekaan ini disambut oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama serta pegangan politik masing-masing.
“Melalui sambutan seperti inilah kita dapat mengingatkan generasi muda tentang erti kemerdekaan agar mereka dapat mempertahankan keamanan serta keharmonian hidup yang kita kecapi kini.
“Negara ini milik semua rakyat Malaysia, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan perpaduan, keamanan dan keharmonian yang telah dihadiahkan oleh para perajurit serta pemimpin kemerdekaan untuk sama-sama dinikmati generasi baru pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perarakan Jalur Gemilang mengelilingi pekan Song, kelmarin.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar lebih bersabar dalam menunggu kerajaan melaksanakan setiap projek pembangunan di kawasan pedalaman seperti Kapit dan Song khasnya.
“Setiap pelaksanaan projek pembangunan memerlukan masa yang agak lama untuk disiapkan, oleh itu jangan mudah mempersalahkan negara dalam menyalurkan pembangunan.
“Jangan seperti perumpamaan ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Tindakan seumpama itu hanya akan menyebabkan kerugian kepada kita semua.
“Sekiranya terdapat perselisihan faham dan rasa tidak puas hati di kalangan kita, selesaikan melalui cara yang lebih berhemah seperti berbincang, bersemuka dan cari penyelesaian yang sebaiknya. “Pertelingkahan, pertengkaran mahupun pergaduhan hanya akan membawa keburukan kepada kita semua. Elakkan semua itu yang hanya mengakibatkan kerugian,” katanya.
“Kerajaan mempunyai perancangan yang terancang dalam membangunkan negara.
“Setiap projek pembangunan tidak boleh dijalankan secara semberono sahaja, sebaliknya harus dirancang dengan lebih teliti dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak, mahupun kesan baik dan buruknya sesuatu rancangan itu.
“Itulah pentingnya perancangan yang teliti dan juga perbincangan di kalangan pelbagai pihak. Semuanya adalah untuk kebaikan masyarakat khususnya,” katanya.
Tambahnya, selain daripada pembangunan dari segi infrastruktur dan kemudahan awam, kerajaan turut mengambil berat dari segi pembangunan modal insan bagi menyediakan generasi yang berkebolehan dalam memimpin negara ke arah negara maju pada masa akan datang.Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan, Pegawai Daerah Song Galong Luang, Pegawai Penerangan Bahagian Koh Kumbong, Pegawai Penerangan Daerah Song Joseph Laga, Pegawai Pendidikan Daerah Song Langgie Ujang dan Pegawai RELA Daerah Song Wallen Gugak
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!