Sebuah lagi universiti di Sarawak
by Florence Nervyn. Posted on March 18, 2011, Friday
Kolej Laila Taib akan dinaik taraf kepada universiti dalam masa dua tiga tahun akan dating
SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata negeri ini bakal memiliki sebuah lagi universiti dengan penaiktarafan Kolej Laila Taib di sini kepada universiti dalam tempoh dua tiga tahun akan datang.
Beliau berkata langkah menaik taraf KLT bertujuan menampung keperluan yang semakin bertambah terutama bagi lulusan kejuruteraan dan teknikal selaras dengan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Sehubungan itu Taib turut menggesa sokongan padu rakyat di peringkat akar umbi dalam usaha menjayakan pembangunan SCORE yang mampu menjana sehingga 1.6 juta peluang pekerjaan menjelang 2030, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.
“Lebih 52 peratus daripada 1.6 juta pekerjaan dalam SCORE merupakan pekerjaan kemahiran yang memerlukan pemegang diploma dan ijazah.
“Oleh itu, rakyat harus bijak merebut peluang pembangunan ekonomi yang telah direncanakan oleh kerajaan Barisan Nasional,” jelasnya.
Ketua Menteri berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke- 110 Penempatan Foochow di Sibu yang berlangsung di Kingwood Hotel, malam kelmarin.
Hadir sama ialah isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Presiden
Persekutuan Persatuan Foochow Sedunia Tan Sri Datuk Jimmy Lau dan Pengerusi Persatuan Foochow Sibu Tiong Kiong King.
Bagi mengecapi kejayaan itu, Taib menggesa rakyat agar membuat persediaan dari sekarang dengan melengkapkan diri dengan pendidikan akademik dan kemahiran teknikal.
“Kita harus bersedia untuk segala bentuk perubahan bagi menyahut cabaran SCORE yang akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini,” tegas beliau.
Ketua Menteri turut membayangkan industri hiliran di kawasan wilayah tengah ini akan berkembang dalam masa terdekatsejajar dengan gelombang kedua pembangunan negeri Sarawak.
“Satu daripadanya ialah hab halal di Tanjung Manis yang bakal menjadi salah sumber pengeluaran makanan halal berasaskan teknologi bioteknologi.
“Selain itu, industri pelancongan di pedalaman Baram dan Kapit memerlukan peranan dan sokongan sector swasta dalam membangunkannya,” katanya.
Taib menggesa sector swasta agar menerokai apa jua peluang yang wujud hasil daripada pelaksanaan SCORE supaya rakyat dapat menikmati kemajuannya. “Saya percaya dengan semangat gigih usaha masyarakat Foochow, Sibu sebagai wilayah tengah negeri ini mampu pesat membangun,” ujar beliau.