Pengundi harus bijak memilih
Posted on February 23, 2012, Thursday
LAMBIR: Semua pengundi yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak diingatkan tidak menggadai masa depan dengan memilih pihak yang salah.
Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, pembangkang sentiasa mencari jalan untuk mencari kelemahan kerajaan sebagai senjata utama untuk menghasut dan memanipulasi pemikiran rakyat khasnya di kawasan luar bandar.
“Pembangkang hanya hadir pada masa pilihan raya dan membawa agenda tertentu untuk diperdagangkan kepada rakyat tetapi mereka lupa di belakang rakyat berdiri teguh sebuah kerajaan iaitu kerajaan Barisan Nasional,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Beliau memberitahu, sokongan rakyat terhadap kerajaan BN masih kuat khususnya di kawasan Parlimen Sibuti dan usaha pembangkang memberi ‘gula-gula’ hanya untuk meraih undi rakyat, adalah strategi lapuk.
“Jangan terperdaya dengan ‘keprihatinan’ pembangkang yang menghulurkan beras atau ubat-ubatan pada masa pilihan raya kerana ia hanya satu taktik lama untuk meraih undi rakyat,” katanya.
Berbanding kerajaan BN katanya, rakyat tidak kira di bandar atau luar bandar telah menerima kesan lonjakan pembangunan bahkan taraf hidup rakyat sekarang berada dalam keadaan selesa.
“Kerajaan BN menyalurkan pembangunan secara berterusan dan tidak terlepas pandang mana-mana keperluan rakyat.
“Belum pernah ada kerajaan yang mampu memberi bantuan wang tunai dan sebagainya kepada rakyat ketika negara lain menghadapi krisis ekonomi,” jelasnya.