SUBANG JAYA 3 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipilih untuk menerima Anugerah Kepimpinan Transformasi pada Forum Ekonomi Cina Dunia Ke-3 di sini malam ini.
Pengerusi Forum Ekonomi Cina Dunia Ke-3, Datuk Dr. Michael Yeoh berkata, pemilihan Perdana Menteri adalah berdasarkan usaha beliau dalam melakukan perubahan terhadap ekonomi negara.
“Perdana Menteri telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan akan diserahkan pada satu majlis berasingan selepas kepulangan beliau daripada menunaikan ibadah haji di Mekah,” katanya pada majlis makan malam penyampaian Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Forum Ekonomi Cina Dunia Ke-3 di Pusat Konvensyen Sunway di sini hari ini.
Sebanyak 12 anugerah disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Turut hadir, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
Sementara itu, Ahmad Husni semasa berucap pada majlis itu berkata, kemampuan ekonomi negara untuk kekal dan mencapai taraf kuasa ekonomi akan terbatas tanpa penggunaan teknologi.
Katanya, inovasi juga akan menjadi faktor penting dalam memastikan bidang keusahawanan kekal bersaing.
“Tanpa inovasi juga, budaya sesuatu bangsa akan lenyap menjadi warisan sejarah,” katanya