Inilah tanda bahawa PM yang pernah berkunjung ke sini dahulu tidak lupa janji beliau. Tahniah kepada penduduk Kampung Lintang di atas pembinaan dewan ini.
Pembinaan dewan Kampung Lintang bukti kerajaan BN tunai janji
Utusan Borneo 10 October 2012,Rabu
JANJI DITEPATI: Sharifah Hasidah bersama penduduk Kampung Lintang dan pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menunjukkan isyarat 1 bagi melambangkan 1Malaysia dengan berlatar belakangkan kain rentang Janji Ditepati.
KUCHING: Pembinaan dewan baharu Kampung Lintang yang bernilai RM1 juta membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau berkata, dewan tersebut yang merupakan keperluan penduduk, diilhamkan selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke kampung berkenaan.
“Projek ini (dewan baharu) menunjukkan Perdana Menteri tidak hanya bercakap sebaliknya menunaikan apa yang dijanjikannya sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas program menaikkan kain rentang Janji Ditepati di sini, semalam.
Menurutnya, program anjuran penduduk Kampung Lintang itu diadakan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan BN kerana menepati janji.
“Hari ini (semalam) penduduk kampung ingin berterima kasih kepada kerajaan yang menepati janji dengan membina dewan ini.
“Saya hanya dijemput untuk hadir, program ini diadakan hasil inisiatif penduduk sendiri,” ujarnya.
Sharifah Hasidah menjelaskan, dewan tersebut yang siap sepenuhnya tahun ini merupakan antara dewan terbaik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang.
“Dewan ini dilengkapi dengan kemudahan moden. Ini merupakan dewan terbaik dalam kawasan Samariang,” jelasnya.
Dewan baharu Kampung Lintang mengambil masa setahun untuk disiapkan dengan projek pembinaannya bermula tahun lepas.
Sementara itu, kira-kira 50 penduduk kampung berkenaan terlibat dengan program menaikkan kain rentang Janji Ditepati.