Abdul Rahman Residen Kuching
by Adib Othman. Posted on Utusan Borneo 6 Ogos 2011, Sabtu
|
SERAH TUGAS: Liew (kiri) menyerahkan tugas kepada Abdul Rahman |
KUCHING: Abdul Rahman Sebli Senusi semalam dilantik menyandang jawatan Residen Kuching menggantikan Liew Jiu Ming.
Ketika ditemui pemberita, Abdul Rahman yang sebelum ini menyandang jawatan residen Sri Aman berkata bahawa beliau akan meneruskan program yang telah dirangka sebelum ini.
“Seperti yang saya kata, saya akan meneruskan apa yang telah dirangka oleh bekas residen… jadi mungkin menjelang hujung tahun ini saya akan menganjurkan lawatan semula untuk program-program sedia ada.
“Jika program-program tersebut masih relevan, saya akan teruskan pada tahun depan,” katanya.
Beliau ditemui semasa Majlis Penyerahan Tugas, di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, dari segi pembangunan, beliau akan lebih menumpukan di kawasan pinggiran Kuching seperti Lundu, Bau, Sematan dan Santubong.
Namun demikian katanya, beliau tetap akan memantau apa yang berlaku di bandar raya Kuching melalui Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Perbandaran Padawan.
“Saya perlu menjalinkan hubungan dengan mereka (MBKS, DBKU dan MPP) untuk mengetahui apa yang sedang berlaku,” katanya.
Antara lain, beliau juga komited untuk menjadikan bandar raya ini sifar setinggan menjelang 2013 dan menangani masalah-masalah sosial di bandar raya ini.
Sementara itu, beliau menyifatkan perpindahannya ke Kuching sebagai satu kejutan memandangkan beliau baru sahaja dipindah semula ke Sri Aman untuk kali yang kedua sebagai residen pada Disember lepas.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pelancongan dan Warisan di sini.
Terdahulu, bekas Residen Liew Jiu Ming ketika berucap mengingatkan kakitangan Pejabat Residen agar sentiasa fokus dan komited untuk mengekalkan prestasi cemerlang.
Katanya, beliau tidak pernah menyesal menyandang jawatan residen kerana baginya, ia memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Sebelum menjadi residen, beliau bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR), kini dipindahkan semula ke jabatan tersebut sebagai timbalan pengarah.