Rabu, 1 April 2015
[JIWA BAKTI] - Bersemuka: Santai bersama Datin Patinggi Jamilah Isteri Ketua Menteri Sarawak
Posted by Unknown
10:58 PG, under Adenan Satem,Biodata Adenan Satem,Isteri Ketua Menteri Sarawak,Jamilah Anu,Jiwa Bakti,Politik Sarawak,RELA,Sarawak | No comments
"Cinta kami berputik di pejabat RELA " - Jamilah
KUCHING - "Saya tetap seperti dulu", kata Datin Patinggi Dato Jamilah Anu, 60, ketika memulakan wawancara untuk mengetahui kehidupan beliau sebagai isteri Ketua Menteri Sarawak.
"Walaupun kini sudah menjadi isteri Ketua Menteri, corak kehidupan saya tetap sama. Tanggunjawab sebagai isteri Ketua Menteri saya realisasikan dengan sepenuh hati.
"Jika sebelum ini, saya gemar memasak untuk hidangan suami dan keluarga, kini tugas itu tetap saya lakukan jika ada kelapangan," katanya.
Ketika menerima berita perlantikan suaminya sebagai Ketua Menteri, Jamilah teruja dan bersyukur atas perlantikan itu.
"Saya menyokong dan harus memahami tugas beliau (Datuk Patinggi) dan tidak mahu menambah masalah sebab sebagai Ketua Menteri, beliau memikul tanggungjawab untuk rakyat dan pentadbiran negeri.
"Tidak semestinya saya bangga menjadi isteri Ketua Menteri kerana saya tahu tanggungjawab suami untuk membangunkan rakyat dan negeri ini berat.
"Justeru, saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya harus faham hala tuju kerana selepas ini banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan," katanya.
Jamilah mengakui masa berada di rumah agak terhad kerana beliau perlu mengiringi suami untuk majlis keramaian pada setiap masa.
Namun, ini tidak bermakna beliau lupa seketika urusan rumah tangga sebaliknya beliau meletakkan kepentingan keluarga mengatasi segala-galanya.
Menurut Jamilah, kini tidak ada lagi istilah hujung minggu buat mereka kerana pada waktu itu mereka diperlukan oleh rakyat dengan menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dan sebagainya.
"Sebelum suami menjadi Ketua Menteri, kami menghabiskan masa hujung minggu pergi ke kawasan Lundu, Sematan, pasar minggu, Bako dan Goebilt mencari ikan segar kerana Datuk Patinggi suka makan ikan sama ada dibakar, dipais mahupun dikukus.
"Kami juga menghabiskan masa bersama menikmati menu kegemaran seperti laksa dan mi kolok di gerai-gerai biasa dalam keadaan santai," kata Jamilah.
Menurutnya, setelah melayari bahtera perkahwinan selama 35 tahun, beliau bersyukur kerana Datuk Patinggi seorang yang ringkas dalam apa jua tindak-tanduk sama ada dari segi makanan hinggalah soal pakaian.
"Saya pastikan pemilihan warna pakaian Datuk Patinggi adalah sesuai dengan majlis yang dihadiri. Paling menarik ialah beliau seorang yang ringkas dan saya bersyukur dengan keadaan ini," katanya.
Dari segi makanan pula, kata Jamilah, Datuk Patinggi Adenan gemar makan makanan ringkas seperti sayur kangkung, kailan ulam, ikan bawal putih masak asam pedas tumis, kari kepala ikan, ikan terubuk masin dan sup ikan lumek.
Malah beliau sering bertanya kepada suami menu pada sebelah malam sebaik sahaja Datuk Patinggi Adenan pulang dari pejabat.
Disebabkan 'cinta' kepada masakan isteri, Datuk Patinggi akan membawa bekalan makanan untuk makan tengah hari jika tidak menghadiri majlis-majlis rasmi di luar.
"Datuk Patinggi adalah seorang suami dan bapa yang penyayang meskipun tegas dan jarang senyum. Bagi saya sifat ini adalah sempurna di mata saya," katanya.
Jamilah turut meluangkan masa lapang dengan menanam bunga, manakala suaminya akan membaca buku dan sesekali berkaraoke jika ada tetamu yang datang.
Mengungkap perasaan cinta di antara mereka, Jamilah ketawa mengingati kenangan manis itu. Pada ketika itu, beliau bertugas sebagai setiausaha di pejabat RELA, manakala Datuk Patinggi sering mengunjungi pejabat itu.
"Oleh sebab itu, Datuk Patinggi berterima kasih kepada pejabat RELA kerana di situ pertemuan mesra kami," katanya.
Selain memikul tanggungjawab terhadap keluarga, Jamilah turut aktif dalam menjalankan kerja-kerja amal dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Beliau aktif dalam Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Menteri Sarawak (SABATI), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sarawak dan YAyasan Jantung Sarawak. Selain itu, beliau turut menjadi penaung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuching.
Atas sumbangan besar beliau terhadap kerja-kerja kebajikan itu, kerajaan negeri menganugerahkan beliau dengan pingat Panglima Bintang Setia Sarawak (PSBS) pada 2003 membawa gelaran Dato dan Pegawai Bintang Sarawak (ABS) 1996.