Kerajaan bercadang wujudkan Bandar Baharu Lingga
Utusan Borneo 16 Oktober 2012, Selasa
LINGGA: Kerajaan mempunyai cadangan mewujudkan Bandar Baharu Lingga sebagai salah satu lagi pembangunan di kawasan terbabit, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Karim.
Beliau berkata dalam tinjauan awal pihak PELITA, mereka telah mengenal pasti tapak dan lokasi termasuk pelan lokasi untuk bandar baharu itu nanti akan dikemukakan kepada kerajaan negeri.
“Cadangan bandar baharu Lingga itu diuruskan sepenuhnya oleh pihak PELITA di mana pelan cadangan serta kedudukan bandar baharu itu akan dikemukakan kepada kepimpinan negeri untuk diteliti dan tindakan lanjut.
“Dengan adanya bandar baharu itu nanti dapat menjadi mercu tanda kepada daerah Lingga yang sedang membangun dengan pelbagai produk pelancongan, ekonomi termasuk pendidikan sebagai daya tarikan pengunjung ke sini,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, malam kelmarin.
Ahli Parlimen Batang Lupar itu berkata lokasi pembangunan Bandar Baharu Lingga yang telah dikenal pasti di kawasan Pejabat Daerah Kecil Lingga sedia ada.
“Kita tidak dapat membangunkan bandar baharu di kawasan tebing Sungai Lingga memandangkan terdedah kepada hakisan. Bagaimanapun, tebing Sungai Lingga akan dibangunkan dengan kawasan riadah iaitu Waterfront Lingga.
“Selain bandar baharu yang akan diwujudkan, terdapat pelbagai pembangunan yang telah dibangunkan di kawasan Lingga termasuk bangunan Pejabat Daerah Kecil dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di mana setakat ini pihak Suruhanjaya Perumahan Sarawak (HDC) membangunkan 50 unit rumah,” jelasnya.
Tambahnya, Lingga juga bakal menjadi salah satu destinasi pelancongan iaitu Pulau Seduku akan dibangunkan sebagai tempat penetasan buaya yang pertama di negara ini serta fenomena benak yang paling unik di Lingga dan Sri Aman.
“Begitu juga projek Jelapang Padi yang kini sedang dibangunkan bakal meningkatkan ekonomi penduduk di sini dan tidak mustahil Lingga akan menjadi pengeluar beras untuk Malaysia nanti,” katanya.
Rohani menjelaskan bahawa adalah menjadi harapan kerajaan agar Bandar Baharu Lingga nanti akan memberi kesan cukup baik kepada penduduk di kawasan ini dalam pelbagai bidang,” katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, Pemanca Mas Shamsiah Maslem serta Penghulu Jamahari Edi.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan pertandingan futsal, tandak Melayu Sarawak dan karaoke.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!