Lorna tunai niat botakkan kepala demi pesakit kanser
Posted on June 26, 2011, Sunday
KUCHING: Datuk Lorna Enan Muloon, isteri bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan menunaikan niat membotakkan kepala bagi mengutip wang untuk didermakan kepada Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Sarawak (SCCS) menerusi kempen membotakkan kepala.
BAWA KECERIAAN: Lorna (kanan) bermesra dengan kanak-kanak penghidap kanser di Unit Kanser Kanak-kanak, Hospital Umum Sarawak semalam. Sebelum itu Lorna telah membotakkan kepalanya dan beliau telah berjaya mengusahakan kutipan sebanyak RM1juta untuk SCCS.
Beliau yang ditemani Dr Chan membotakkan kepala di Hospital Umum Sarawak ketika berkunjung ke Wad Barah di sini, semalam.
Dengan usaha itu, beliau telah menggenapkan kutipan RM1 juta.
Lorna berjaya meraih RM100,000 manakala lapan penderma merangkumi orang perseorangan serta syarikat swasta, masing-masing me-ngutip RM50,000.
Penderma ialah Datuk Shah Rukh Khan, Teo Aik King, Yayasan TPR, Tan Sri Ling Ching Ho, Datuk Wira Faisal daripada Kumpulan Naza, Yayasan GLC, Andy Ang daripada Island Circle Development dan Yong Foh Choi.
Penderma tertinggi nilainya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada malam Sabtu lepas menyumbang RM500,000 daripada kerajaan persekutuan.
Lorna telah menulis sepucuk surat kepada Najib mengenai usaha SCCS mengutip dana bagi membantu kanak-kanak penghidap barah. Ia disusuli dengan persetujuan Najib.
Presiden SCCS Gary Ho yang memberitahu perkara ini dalam sidang media di sini semalam berkata, matlamat mengutip RM1.5 juta mene-rusi Kempen Membotakkan Kepala akhirnya tercapai dengan usaha Lorna.
“Kempen diadakan di Miri baru-baru ini telah mengutip RM143,000, manakala di Kuching meraih RM480,000. Ia jauh daripada sasaran kami.
“Dengan RM500,000 dikutip oleh beliau (atas usaha Lorna) dan RM500,000 dijanjikan oleh Najib, matlamat RM1 juta kutipan akan tercapai,” katanya.
Lorna dengan kepala botaknya semalam mengunjungi Wad Barah Hospital Umum Sarawak sambil ditemani Dr Chan.
Bagaimanapun Lorna dan Dr Chan tidak menyertai sidang media tersebut.
Dana dikutip akan digunakan bagi membina bangunan baru SCCS di Taman Desa Wira yang berharga RM2.4 juta dan dijangka siap pada Mei tahun depan.