Ahli Parlimen Santubong menegaskan bahawa kadar penembusan internet di Santubong akan mencapai 100 peratus sebelum hujung tahun 2013.
Walaupun demikian cuma 10 peratus sahaja yang belum lagi menikmati kemudahan internet dan semua ini akan dapat diatasi selesai sahaja pemasangan gentian optik berperingkat-peringkat. Kawasan-kawasan ini seperti Teluk Serabang dan Teluk Melano juga belum mendapat sistem telekomunikasi.
Semoga usaha-usaha untuk membawa kadar penembusan internet ini akan giat dijalankan di Santubong malah bukan berhenti di situ sahaja tetapi sehingga ke seluruh Sarawak!
Semua kawasan Santubong dapat Internet hujung 2013
Utusan Borneo 29 Julai 2012, Ahad
KUCHING: Semua kawasan di bawah Parlimen Santubong bakal menikmati kemudahan Internet selewat-lewatnya penghujung tahun 2013. Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimennya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang memberitahu kawasan tersebut akan mencapai 100 peratus kadar penembusan Internet sebelum hujung tahun depan.
Beliau mendedahkan, setakat ini kurang daripada 10 peratus kawasan di bawah Parlimen Santubong belum mempunyai kemudahan Internet.
“Sekarang ini, lebih 90 peratus kawasan di Parlimen Santubong sudah menikmati kemudahan Internet dan kurang 10 peratus belum menikmatinya.
“Justeru, kita yakin akan mencapai 100 peratus penembusan Internet di seluruh kawasan Parlimen Santubong sebelum penghujung 2013,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia (KR1M) di Dewan Yayasan Sarawak di sini semalam.
Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat menjelaskan, antara kawasan yang belum mempunyai kemudahan Internet ialah Teluk Serabang dan Teluk Melano. Tambahnya, selain tidak mempunyai liputan Internet dua kawasan itu juga belum mempunyai liputan telekomunikasi.
“Saya sudah menulis surat berhubung perkara ini serta sudah memaklumkan kepada menteri yang berkaitan dan hanya menunggu maklum balas,” jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu masalah penembusan Internet yang lemah di beberapa kawasan seperti Semilang Beradik akan diatasi setelah kerja-kerja pemasangan gentian optik yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, selesai.
Ketika ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan diadakan sebelum pembentangan Belanjawan 2013 Wan Junaidi berkata: “Belum ada berita mengenainya.”
Sementara itu, ketika berucap pada majlis perasmian, Wan Junaidi menasihat penerima-penerima KR1M agar menggunakannya kemudahan yang telah diberikan sebaik mungkin.
“Jika tidak tahu menggunakannya belajar dengan cepat kerana kemudahan ini amat berguna kepada kamu semua,” tegasnya.
Pada majlis itu, seramai 507 orang terdiri daripada pemimpin masyarakat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima KR1M.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi ketika berucap berkata, pihaknya ada menganjurkan program celik IT.
“Program ini sudah bermula 2007 dan ia diteruskan bagi membantu golongan yang tidak tahu menggunakan komputer supaya mereka boleh menjadi celik IT,” ujarnya.
- Posted using BlogPress from my New iPad