Pembangkang sepatutnya berterima kasih kepada rakyat kerana mereka masih juga disokong walaupun cuma segelintir sahaja. Sekiranya PRU13 tidak telus pastinya BN tidak akan kehilangan kerusi di bandaraya utama seperti Kuching dan Miri.
Pembangkang juga harus mengikis budaya demonstrasi yang tidak akan berakhir ke mana? Sepatutnya mereka menggunakan saluran yang sedia ada untuk meluahkan ketidakpuasan hati.
Pelik juga apabila pembangkang hanya berdemonstrasi di tempat mereka kalah sahaja, adakah ini bermaksud mereka hanya mahu menang dan tidak boleh menerima kekalahan? Beginikah mentaliti pembangkang yang maju?
Penganjur demonstrasi diselar
by Agnes Tugong. Utusan Borneo 13 Mei 2013, Isnin
Pihak yang terlibat tidak hormati hak rakyat, amalan demokrasi negara
CENDERAHATI: Temenggung Datuk James Jimbun (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Jabu (kiri) sebagai tanda penghargaan.
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyelar tindakan pihak yang terlibat dalam penganjuran demonstrasi baru-baru ini bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan, Jabu berkata mereka yang terlibat dalam demonstrasi tersebut tidak menghormati hak rakyat serta amalan sistem demokrasi negara yang telah lama wujud.
“Kita harus ingat, budaya demonstrasi bukan budaya kita.
“Kita tidak sepatutnya terlibat dalam aktiviti seperti ini sebaliknya kita harus menjaga dan memelihara kestabilan negara,” tegas Jabu ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gawai 2013, Sabtu lepas.
Majlis tersebut merupakan anjuran Komiti Sosial dan Kebajikan (KSK) Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Kuching di Dewan Pusat Gereja-gereja Kristian di sini sempena perayaan Gawai Dayak serta sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.
Tambah Jabu selepas berakhirnya PRU13 dan angkat sumpah oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, indek Bursa Malaysia terus melonjak naik.
Malah katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan keutamaan kepada janji-janji serta projek-projek pembangunan yang dinyatakan sepanjang pilihan raya dan selepas kejayaan membentuk kerajaan sekali lagi.
Pada masa yang sama, kerajaan BN turut menjanjikan komitmen peruntukan yang lebih kepada Sabah dan Sarawak bagi tujuan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.
Jabu turut yakin menjelang tahun 2020, negara akan dapat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat termasuk masyarakat Penan dan meningkatkan jumlah pendapatan penduduk di atas paras garis kemiskinan.
Mengulas mengenai majlis itu, Jabu berkata ia merupakan usaha yang baik oleh penganjur dalam memartabatkan dan memelihara adat dan budaya asal masyarakat Iban di negeri ini.
Sebagai tanda sokongan ke atas penganjuran majlis itu, Jabu memperuntukkan sejumlah RM20,000 kepada jawatankuasa penganjuran untuk majlis yang sama serta lebih hebat pada tahun depan.
Jabu turut mengingatkan masyarakat Iban agar menjaga dan memelihara adat, budaya dan asal usul mereka yang merupakan identiti kepada bangsa Iban di seluruh negeri, negara termasuk dunia.
Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Penan) Datuk John Sikie Tayai, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat serta lebih daripada 1,000 tetamu yang terdiri daripada masyarakat Iban dari sekitar bandar raya ini.