Kumpulan Wong tidak hadiri TDC
Posted on December 11, 2011, Sunday
KUCHING: Kumpulan Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh tidak bercakap kosong apabila mereka benar-benar tidak menghadiri Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti tersebut yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Selain Wong, para pemimpin yang lain turut memboikot ialah Datuk Tiong Thai King, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Lee Kim Shin, Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnichal Rayong Ngipa. Mereka merupakan wakil rakyat.
Kumpulan tersebut merupakan pesaing kepada kumpulan Setiausaha Kerja Datuk Seri Peter Chin.
Wong dan Chin berhasrat menjadi Presiden berikutan Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan mengundur diri.
Pada Khamis lepas, kumpulan tersebut mengumumkan keputusan akan memboikot TDC dan pemilihan parti yang diadakan pada hari ini.
Tindakan itu diambil berikutan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti tidak mempedulikan aduan ahli-ahli yang mendakwa wujud penyelewengan dan kejanggalan dalam proses pemilihan beberapa cawangan pada November.
Ahli-ahli daripada beberapa cawangan berkenaan juga dikatakan sebelum ini pernah mengemukakan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung salah laku itu.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!