"SUPP Perlu Berubah Atau Diubah!!!?
Najib garis tiga strategi penting menangi sokongan pengundi bandar
Berita Minggu
M Hifzuddin Ikhsan
2011/12/11
KUCHING: Datuk Seri Najib Razak yang mahu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berubah atau diubah, menggariskan tiga strategi penting bagi parti itu untuk memenangi sokongan pengundi bandar.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, parti komponen BN kedua terbesar di Sarawak itu perlu mengkaji dan merangka strategi baru ke arah kemenangan, mengubah imej ke arah lebih baik dan merombak jentera parti dengan tujuan memperkukuhkannya.
"Apa yang penting ialah untuk SUPP kembali memenangi keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap SUPP. SUPP perlu berubah untuk menjadikan ia pilihan rakyat Sarawak, khususnya pengundi Cina," katanya berucap merasmikan Persidangan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP, di sini, semalam.
Hadir sama Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg, mewakili Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang kini mempunyai urusan rasmi di India.
Perdana Menteri percaya BN mampu memenangi keyakinan pengundi bandar jika semua parti komponen bekerja lebih kuat, meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri serta sentiasa bersedia mendengar suara serta denyut nadi rakyat.
Najib berkata, pencapaian SUPP yang hanya menang enam daripada 19 kerusi ditandingi pada pilihan raya negeri April lalu perlu dinilai dalam melakukan perubahan, supaya ia dapat melakukan perubahan bagi memenangi kembali keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
"Sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi kita perlu bersedia untuk berubah. Apa yang terjadi di negara Asia Barat dan Afrika Utara membuktikan kepentingan kita untuk berubah mengikut keperluan rakyat," katanya.
Beliau berkata, persidangan SUPP kali ini yang menjadi pentas terakhir Dr Chan selepas 15 tahun menerajuinya, perlu menyatukan kembali ahlinya walau apa pun yang terjadi, kerana lawan sebenar parti adalah pembangkang di luar, bukan sesama ahli parti.
"Pemenang tidak boleh mengambil segalanya dan yang kalah tidak seharusnya hilang segalanya. Kembalilah bersatu kerana lawan kita sebenar adalah pembangkang di luar sana, bukan sesama ahli dalam parti.
"Saya minta selepas pemilihan ini semua selesai, kita semua dapat kembali bersama membentuk pasukan yang kuat kerana seperti dalam perlawanan bola sepak, hanya pasukan yang dapat bermain sebagai satu pasukan saja akan menang," katanya.
Najib turut menjelaskan kehadirannya ketika SUPP melalui ujian amat besar dalam pemilihan bagi jawatan Presiden, adalah kerana sebagai Pengerusi BN, setiap parti komponen amat penting bagi beliau dan kerana Sarawak juga amat penting bagi BN.
"Saya tidak ada tujuan dan niat yang lain, jauh sekali untuk mencampuri urusan dalaman mana-mana parti komponen BN. Saya cuma ingin melihat parti SUPP yang kuat dan dihormati oleh masyarakat di Sarawak," katanya.
Sementara itu, Najib turut melancarkan buku pertama hasil tulisan Dr Chan bertajuk What Now? yang menceritakan banyak pengalaman bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu sejak berkecimpung dalam politik hingga persaraannya.
Dr Chan berkata, semua hasil jualan buku berharga RM38 senaskhah itu akan disalurkan kepada tabung Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS).
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!