Semua sekolah akan dapat geran kerajaan tahun depan: Dawos
Utusan Borneo 20 Oktober 2012, Sabtu
PADAWAN: Setiap sekolah kerajaan di negara ini termasuk sekolah mubaligh akan diperuntukkan dengan geran berjumlah antara RM225,000 dan RM275,000 menerusi Belanjawan 2013.
Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata, geran tersebut merupakan peruntukan berterusan daripada kerajaan bagi tujuan pembangunan dan menaik taraf sekolah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Negara.
“Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dalam penggulungan beliau semalam (kelmarin) berkata bajet tahun depan adalah bajet untuk rakyat dan di sinilah pentingnya Pelan Pembangunan Pendidikan.
“Menerusi bajet rakyat ini tahun depan, pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf sekolah akan dapat diteruskan terutama melibatkan sekolah-sekolah kerajaan termasuk sekolah mubaligh.
“Justeru saya berharap setiap sekolah akan menerima geran masing-masing tahun depan kesinambungan daripada geran yang telah diagihkan sebelum ini,” kata-nya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penutupan Seminar Pendidikan Alam Sekitar Kategori Sekolah Menengah Peringkat Parlimen Mambong di Dewan Sekolah SMK Tun Abdul Razak di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Dawos yang juga Ahli Parlimen Mambong berkata, beliau telah mengemukakan permohonan peruntukan dengan anggaran RM60 juta kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pelajaran bagi menaik taraf SMK Tun Abdul Razak yang merupakan antara sekolah tertua di negeri ini.
“Saya telah bercakap kepada Perdana Menteri dan beliau telah bersetuju namun setakat ini kami belum menerima apa-apa peruntukan.
“Anggaran saya ialah RM60 juta dan ia termasuk menaik taraf jalan sepanjang dua kilometer selain menaik taraf struktur bangunan sekolah ini,” katanya.
Dalam pada itu, kata Dawos, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.1 billion bagi tujuan menaik taraf sekolah tahun depan khususnya di Sarawak dan Sabah.
Jika terdapat permohonan daripada sekolah-sekolah, katanya, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan mana-mana permohonan yang sewajarnya.
Selain peruntukan geran, kerajaan akan mula mengagihkan bantuan RM100 bagi setiap pelajar sekolah Januari depan termasuk agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jelasnya. Susulan itu, beliau menggesa semua rakyat yang layak untuk menerima bantuan BR1M segera mendaftar mulai November ini bagi membolehkan mereka menikmati bantuan berbentuk wang tunai itu.