Jerayawara Bubur Pedas/Bubur Lambuk platform sukarelawan
Utusan Borneo 4 Ogos 2012, Sabtu
KUCHING: Jerayawara Bubur Pedas dan Bubur Lambuk anjuran SABERKAS dengan kerjasama BERNAS dilihat sebagai platform terbaik untuk memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat terutama belia.
Menteri Muda Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran program itu adalah selari dengan usaha untuk menarik penglibatan belia sekali gus menghindar mereka terjebak dengan gejala negatif.
Menurutnya, sepanjang lapan tahun penganjuran, program itu merupakan acara wajib untuk belia pada bulan Ramadan.
“Saya yakin program seperti ini mampu menanam semangat mahu bekerja secara sukarela di kalangan belia.
“Daripada tidak melakukan apa-apa, lebih baik mereka (belia) terlibat dengan sebarang aktiviti yang dapat menghindar daripada melakukan gejala tidak sihat,” katanya ketika berucap pada Program Jerayawara Bubur Pedas dan Bubur Lambuk BERNAS dan SABERKAS di sini, semalam.
Karim menjelaskan, secara keseluruhan sebanyak 24 lokasi di seluruh negeri terlibat dengan penganjuran program tersebut.
“Dahulu ia (program) hanya melibatkan bubur lambuk namun sekarang diperluaskan kepada bubur pedas.
“Ia merupakan program yang amat menarik kepada penduduk luar bandar kerana bubur yang dihasilkan akan disajikan untuk berbuka puasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha Beras Corporation Sdn Bhd (BERNAS) yang banyak membantu meringankan beban masyarakat terutama mereka yang terlibat dengan bencana.
“BERNAS tidak pernah lepas tangan untuk membantu masyarakat terutama mereka yang berada dalam kesusahan,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Mohd Kamaluddin Mohd Effendie dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak Paza Dan.