Kerajaan BN telah memenuhi janji dengan membina pangsapuri bernilai RM 10 Juta untuk mangsa air pasang besar di Kampung Pengkalan Atap. Timbalan Perdana Menteri telah menyempurnakan perletakkan batu asas projek.
Semoga warga Kuala Besut menghargai usaha BN untuk membela nasib rakyat di Kuala Besut.
Muhyiddin Letak Batu Asas Projek Pangsapuri Mangsa Air Pasang Besar
KUALA BESUT, 13 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Sabtu merasmikan peletakan batu asas projek pembinaan 72 unit pangsapuri empat tingkat penempatan semula mangsa air pasang besar di Kampung Pengkalan Atap di sini.
Projek pangsapuri tiga bilik melibatkan kos lebih RM10 juta itu dibina di kawasan seluas 720 kaki persegi di tanah milik kerajaan di Kampung Lay Out Tok Saboh, Kuala Besut.
Berucap pada majlis perasmian itu, Muhyiddin berkata pembinaan rumah tersebut membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO tidak pernah meminggirkan golongan kurang bernasib baik sebagaimana yang didakwa parti politik tertentu.
Beliau berkata apa yang dilaksanakan itu merupakan dasar yang diterapkan kerajaan BN sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, selaras dengan syiar Islam iaitu menangani soal kediaman dan membantu umat Islam memperoleh kehidupan lebih baik.
"Projek ini memberi pengertian cukup besar kepada masyarakat dan bagi kerajaan ia merupakan tanggungjawab dan pilihan yang akan diteruskan tanpa mengehadkan peluang kepada golongan tertentu sahaja.
"Pilihan ini tidak boleh diabaikan kerana setiap rakyat mahu merasa lebih selamat dan selesa, jadi tugas kerajaan ialah (untuk) terus penuhi tuntutan itu," katanya.
Hadir sama di majlis itu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.