Belum terima baucer BR1M punca Pejabat PKR sesak
Posted on January 19, 2012, Thursday
SANDAKAN: Pejabat Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Elopura dan Tanjung Papat di sini dipenuhi dengan para pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejak Isnin lepas yang datang untuk mendapatkan baucer masing-masing.PEJABAT PKR Tanjung Papat yang sesak dengan kehadiran para pemohon BR1M untuk mendapatkan baucer.
Bagaimanapun, keadaan menjadi sesak selepas pihak pejabat PKR kedua-dua kawasan masih belum menerima sebarang baucer bantuan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut PKR Tanjung Papat, Wong Chee Kiat, kegagalan LHDN mengurus perkara itu dengan teliti dan teratur telah menimbulkan kesulitan bagi pihaknya serta pemohon-pemohon BR1M.
“Pemohon-pemohon dari kawasan Tanjung Papat dan Elopura yang datang mengemaskini kelayakan menerima BR1M di LHDN pada Isnin telah diminta ke Pejabat PKR untuk mendapatkan baucer, sedangkan pihak kami belum menerimanya pada ketika itu.
“Sepanjang tiga hari lepas, pejabat sesak dengan kehadiran pemohon sedangkan baucer BR1M hanya akan diserahkan hari ini serentak dengan penyerahan wang bantuan. Akibat pengurusan LHDN yang tidak teratur, ia menimbulkan masalah kepada pihak pejabat PKR dan juga rakyat,” katanya kepada pemberita di sini.
Seramai 963 pemohon BR1M bagi fasa 1 di kawasan Elopura dan Tanjung Papat akan menerima wang bantuan hari ini dalam satu majlis penyerahan di dewan masyarakat bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.
Manakala, lebih 500 pemohon bagi kawasan Batu Sapi dan lebih 600 pemohon di Libaran akan menerima bantuan yang sama pada Jumaat di dua lokasi berasingan iaitu di dewan masyarakat dan Dewan Sri Libaran.