MBKS kunjungi KM selepas menang Anugerah Bandar Raya Pelancongan
BANDAR LESTARI: Chan (tiga kiri) mempamerkan sijil dan plak Anugerah Bandar Raya Pelancongan kepada Taib, semalam. Turut kelihatan Wong (dua kiri), Affandi (belakang) dan yang lain. |
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) semalam mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud susulan kejayaan mereka memenangi Anugerah Bandar Raya Pelancongan baru- baru ini.
Rombongan kunjungan yang diketuai Datuk Bandar MBKS James Chan dan timbalannya Abang Affandi Abang Anuar turut dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh di pejabat Taib di Wisma Bapa Malaysia di sini.
MBKS berjaya merangkul anugerah terbabit pada Forum Pembangunan Saintifik Bandar-bandar Raya Dunia Kedua dan Sidang Kemuncak Datuk-datuk Bandar Pertama Mengenai Pengurangan Risiko Bencana.
Program yang bertemakan ‘Tumpuan Kepada Kerjasama dan Pembangunan Mapan Antara Bandar-bandar Raya, Membina Bandar-bandar Raya Yang Dapat Dihuni Bagi Manusia’ itu diadakan di Chengdu, China dari 11 hingga 13 Ogos lepas.
Forum merupakan anjuran bersama Strategi Antarabangsa bagi Pengurangan Bencana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNISDR), Perikatan Pembangunan Saintifik Bandar-bandar Raya Dunia (WCSDA) dan Sister Cities International (SCI).
Hampir 200 peserta dari lebih 30 negara menghadiri forum tersebut termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, Afrika Selatan, China, Costa Rica, Ireland, Sri Lanka, Bangladesh, Lubnan, Malaysia, Pakistan, Jamaica, Palestin, Filipina, Poland, Senegal, Uganda, Vietnam dan lain-lain.
Sistem Penilaian Pembangunan Saintifik Bandar-bandar Raya Dunia di forum itu menyampaikan tiga anugerah iaitu Anugerah Bandar Raya Pelancongan, Anugerah Bandar Raya Ekologi dan Anugerah Bandar Raya Kebudayaan.
Selain Anugerah Bandar Raya Pelancongan diberikan kepada MBKS dari Malaysia serta Xining, Qinghai dari China dua lagi anugerah turut diberikan.
Anugerah Bandar Raya Ekologi disampaikan kepada Saldanha Bay, Cape Town, Afrika Selatan serta Dali, Yunnan, China dan Anugerah Bandar Raya Kebudayaan pula diterima oleh Cincinnati, Ohio, AS serta Luoyang, Henan, China.
WCSDA merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan oleh sekumpulan gabenor bandar raya dan sarjana institut yang khusus menyelidiki pembangunan bandar raya.
Matlamat WCSDA adalah untuk membina platform bagi pertukaran idea dan kerjasama di antara bandar raya-bandar raya di dunia untuk mempromosikan pencapaian terkini dalam usaha membina dan menguruskan bandar raya di dunia, selain untuk menyelidiki dan mengkaji pembangunan saintifik bandar raya di dunia.