PAS menjanjikan pembangunan tetapi menggunakan duit daripada rakyat. Bukankah kerajaan patut memberi wang kepada rakyat dan bukan sebaliknya? Kerajaan BN beri BR1M bernilai RM500 manakala kerajaan PAS pula meminta RM1,200 daripada setiap rakyat Kelantan? Minggu ini PM memberi isteri peneroka RM 5,000 lagi!
Beginikah cara kerajaan PAS memerintah kelak sekiranya terus diberi mandat kelak?! Kalau PAS memerintah rakyat menjadi susah kerana PAS tidak pandai mentadbir lebih-lebih lagi menguruskan ekonomi?
PAS banyak janjikan projek pembangunan
Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) merupakan projek Kerajaan Persekutuan bagi kemudahan rakyat Kelantan.
KETIKA Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama barisan Exconya berkumpul di Kampung Berangan Mek Nab, Machang, sempena upacara meletakkan batu asas bagi pembinaan lebuh raya baru menghubungkan Kota Bharu ke Kuala Krai, baru-baru ini banyak persoalan timbul.
Dengan anggaran kos sebanyak RM1.8 bilion dan turut memohon derma daripada rakyat Kelantan untuk bergotong-royong membina lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu kesangsian semakin dirasakan, adakah projek itu akan berjaya?
Belum pernah berlaku dalam sejarah negara ini di mana sebuah projek mega yang bernilai berbilion ringgit ditanggung oleh rakyat apatah lagi ketika rakyat sendiri kini dibelenggu dengan masalah kemiskinan dan kenaikan harga barangan.
Malah jika dibuat pecahan secara purata, setiap seorang daripada 1.5 juta penduduk Kelantan tidak kira dewasa atau kanak-kanak perlu menyumbang sebanyak RM1,200 seorang barulah jumlah itu boleh dicapai.
Lebuh raya itu bukan janji yang boleh diharapkan jika melihat rekod terlalu banyak janji projek mega yang pernah diilhamkan Pas Kelantan selama ini gagal dilaksanakan.
Wartawan Utusan Malaysia, RODELIO JUNJUN TAUCAN dan TOREK SULONG serta jurugambar, AIZZUL A. MAJID meninjau beberapa kawasan yang pernah dijanjikan untuk dibangunkan Kerajaan Pas Kelantan sejak 22 tahun lalu.
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU 25 Jun - Sepanjang 22 tahun memerintah Kelantan, kerajaan negeri pimpinan Pas banyak menjanjikan projek- projek pembangunan termasuk bertaraf mega untuk memastikan sokongan rakyat kepada mereka.
Sebelum timbul cadangan pembinaan lebuh raya bernilai RM1.8 bilion dari sini ke Kuala Krai, kerajaan negeri Kelantan dipercayai pernah berjanji untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 16 projek mega bernilai antara RM100 juta hingga RM1.5 bilion yang berjumlah melebihi RM7.63 bilion di negeri ini.
Seperti mana diketahui umum, semua projek yang dijanjikan itu tidak pernah menjadi kenyataan dan akan hilang setelah timbul janji-janji baru seperti pembinaan lebuh raya tersebut.
Wartawan Utusan Malaysia membuat tinjauan ke beberapa lokasi untuk melihat perkembangan semasa projek yang diilhamkan untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.
Jambatan Palekbang-Tumpat
Salah satu projek yang sangat popular dijanjikan Kerajaan Pas Kelantan adalah pembinaan jambatan merentangi Sungai Kelantan yang akan menghubungkan Kampung Cina di Pantai Cahaya Bulan dengan Palekbang di Tumpat.
Ketika pengumuman dibuat pada tahun 1996, Nik Abdul Aziz menjemput Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra untuk mencemar duli bagi meletakkan sebuah batu asas betul-betul berhampiran dengan Balai Polis Palekbang.
Pengumuman pembinaan jambatan berkenaan ternyata memberi kegembiraan kepada penduduk di kedua-dua daerah kerana ia bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan, malah memberi pilihan kepada mereka untuk mencari jalan singkat terutama yang bekerja di Kota Bharu.
Namun setelah 16 tahun berlalu, kerja-kerja pembinaan jambatan itu masih belum bermula dan hanya batu asas dikelilingi semak-samun.
Bandar Red Warriors dan Stadium Bola Sepak di Bukit Merbau, Pasir Puteh
Pada 18 Mei 2011, Nik Abdul Aziz dalam satu sidang akhbar di pejabatnya membuat pengumuman yang menceriakan rakyat Kelantan apabila berjanji akan membina sebuah stadium bola sepak baru bernilai sekurang-kurangnya RM159 juta di Bukit Merbau, Pasir Puteh.
Beliau yang ketika itu ditemani Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa turut memaklumkan pembangunan bandar sukan di kawasan sekitar Bukit Merbau yang akan diberi nama Bandar Red Warriors sebagai penghargaan pasukan bola sepak negeri ini yang berjaya memenangi beberapa piala dalam Liga Malaysia.
Namun selepas setahun, tinjauan Utusan Malaysia di tanah yang dimaksudkan mendapati gambaran sebaliknya daripada apa yang diperkatakan oleh pemimpin tersebut.
Usaha mencari batu asas yang mungkin sudah diletakkan juga, tidak ditemui sebaliknya yang ada hanya sebuah ladang penternakan lembu fidlot milik kerajaan negeri yang terbiar.
Projek Perumahan Bukit Gedombak
Dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2004, Pas berjanji untuk membina lebih 100 unit rumah kedai di Bukit Gedombak, Pasir Puteh yang dinamakan sebagai Taman Putra lebih 10 tahun lalu dan ia mendapat respons positif daripada rakyat.
Kesemua unit rumah yang dijanjikan telah pun ditempah dan dibayar deposit malah ada yang sudah dipotong bayaran bulanan oleh pihak bank namun akhirnya mereka hanya kehilangan wang sebaliknya rumah dijanjikan masih tidak ada.