Penduduk Kuching Nikmati Restoran Coop 1Malaysia Pertama
KUCHING, 14 April (Bernama) -- Rakyat, khasnya yang berpendapatan rendah, boleh menikmati makanan dengan harga lebih murah sambil menikmati keindahan panorama bandar raya Kuching berikutan perasmian Restoran Coop 1Malaysia pertama di negara di sini.
Dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, restoran yang diusahakan oleh Koperasi I-Big Kuching Berhad itu, merupakan koperasi pertama yang menawarkan pakej Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M).
"Usaha ini dilakukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi memberi peluang kepada anggota koperasi dan rakyat yang berpendapatan rendah mendapatkan barang perlu dengan harga yang lebih murah selaras dengan tagline produk Coop 1Malayias "Lebih Murah, Lebih Jimat, Sama Hebat," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Restoran Coop 1Malaysia, yang terletak di aras dua, Dewan Suarah Kuching, kira-kira 220 kaki dari paras laut di sini, Sabtu.
Pakej sarapan pagi ditawarkan pada RM2.50 manakala menu makan tengah hari hanya RM5.
Beliau yakin ia dapat membuktikan bahawa gerakan koperasi mampu bersama pihak kerajaan menyediakan perkhidmatan dalam industri pemakanan, khususnya menu yang disediakan kepada orang ramai pada harga yang berpatutan dan lebih murah, makanan berkualiti serta suasana yang selesa.
Kerajaan melalui kementeriannya melihat tekanan kenaikan harga barangan akan menjejaskan taraf hidup rakyat, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar dan telah membelanjakan sejumlah peruntukan kewangan untuk subsidi bagi menangani isu itu, katanya.
Subsidi bagi mengimbangi barang kawalan adalah seperti petrol RON 95, gula, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya.
Terdahulu, pengurus Koperasi I-Big Kuching Berhad Kamsiah Sabli berkata walaupun restoran berkenaan baru sahaja beroperasi, namun telah mendapat banyak tempahan bagi pelbagai acara termasuk rombongan pelancong luar negara seperti dari Taiwan dan Singapura.
Sasaran untuk mengerakkan koperasi menyumbang sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2013 dan 10 peratus pada 2020 telah digariskan dalam dasar Koperasi Negara 2011-2020.
-- BERNAMA