Berkat usaha bertolak-ansur dan perundingan yang gigih tanpa mengenal penat lelah akhirnya sekatan Murum berjaya diakhiri dengan aman.
Berita gembira ini disampaikan oleh ADUN Belaga semasa mesyuarat Dewan Tertinggi PRS semalam.
Semoga penduduk Penan terus menjaga kesejahteraan dan perpaduan kaum dalam era 1 Malaysia.
Penan hentikan sekatan Murum
Utusan Borneo 28 Oktober 2012, Ahad
SIBU: Penduduk Penan yang sebelum ini menyekat laluan ke tapak projek Empangan Murum di daerah Belaga telah menghentikan perbuatan itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga Liwan Lagang.
Liwan, yang dilantik sebagai orang tengah antara kerajaan dan masyarakat Penan berhubung isu itu berkata demikian pada mesyuarat Dewan Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini, semalam.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Presiden PRS Tan Sri James Masing berkata kerajaan bersetuju memberi pertimbangan serius terhadap permintaan penduduk terbabit berkaitan isu tanah dan pampasan.
“Kami tahu orang Penan boleh menerima sesuatu yang munasabah.
“Tapi, oleh kerana mereka adalah masyarakat Penan, mereka menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.
“Oleh itu, kerajaan perlu menangani perkara ini dengan amat serius dan adil kerana dunia sedang memerhati kita,” kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah Negeri.
Pada 26 September antara 200 hingga 300 Penan, bersama-sama dengan Kenyah Badeng dari lapan penempatan – yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan empangan – menyekat laluan di Sungai Seping, pintu masuk ke tapak pembinaan Empangan Murum bernilai RM3 bilion. — Bernama
- Posted using BlogPress from my New iPad