Mari kita ikuti sedutan Jiwa Bakti Mac 2015(1) mengenai formula penyelesaian kumpulan serpihan dari parti komponen BN Sarawak.
Formula Penyelesaian UPP, TERAS
Wartawan: Tempoh kerajaan negeri sekarang berakhir Jun tahun depan tetapi pemerhati percaya, pilihan raya negeri ke-13 kemungkinan besar diadakan dalam tahun ini. Apa kata Tan Sri?
Adenan: Saya akan menasihatkan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa sebelum Jun (2016) supaya diadakan Pilihan Raya Negeri. Kali ini kemungkinan besar kita akan bertanding bukan 71 tapi 82 kerusi setelah tambahan 11 kerusi DUN. BN akan bertanding di semua 82 kerusi dan sebelum itu, kita akan membahagikan kerusi di antara parti komponen serta kemungkinan parti-parti lain yang menyokong BN. Tetapi penekanannya ialah untuk calon yang dapat menang, dan yang boleh menang bukan hanya kerana dia dari parti kerajaan….. kerana tidak guna kalau kita kalah. Kita mahu menang.
Wartawan: Tetapi dua parti komponen berdepan masalah dalaman agak serius iaitu SUPP dan SPDP hingga kumpulan serpihan menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat (TERAS)… apakah jalan penyelesaian?
Adenan: Ya kali ini ada masalah sedikit dalam BN kerana ada komponen seperti SUPP dan SPDP mempunyai pihak kumpulan serpihan. Perkara ini mesti kita selesaikan sebelum pilihan raya negeri kerana kita tidak mahu pertandingan tiga penjuru UPP, TERAS atau empat penjuru di mana parti pembangkang boleh menang kerana undi BN berpecah… bukan semua, tapi kemungkinan ada. PBB tidak ada masalah, tiada serpihan. begitu juga PRS.
Wartawan: Tadi Tan Sri ada menyebut kemungkinan parti lain yang menyokong BN akan turut diberi kerusi DUN untuk dipertandingkan?
Adenan: Bukan diberi kerusi tetapi kita akan pertimbangkan…. bergantung kepada kemungkinan untuk menang, bertanding guna lambang ‘dacing’ (BN)… diangkat sebagai calon BN, macam dulu (calon langsung BN)
Wartawan: Bila sebenarnya Tan Sri berhasrat mengadakan pilihan raya negeri… dalam tahun ini atau tahun depan?
Adenan: Saya akan mengadakan pilihan raya negeri apabila BN sudah bersedia, bukan apabila pembangkang sudah bersedia.
Wartawan: Apakah BN sudah bersedia?
Adenan:Kita bersedia, bila-bila masa.
Wartawan: Berdasarkan maklum balas, populariti Tan Sri begitu naik sekarang dan lazimnya pilihan raya pertama termasuk bagi Perdana Menteri baru, memperoleh majoriti besar… semua ini memihak kepada BN untuk menang. Jadi, sekarang atau dalam tahun ini, paling sesuai untuk bubar DUN?
Adenan: Saya masih ada banyak benda belum selesai
Wartawan: Ada rancangan untuk merombak Kabinet negeri?
Adenan: Bukan sekarang, mungkin sesudah pilihan raya negeri.
Wartawan: Berapa keahlian PBB sekarang?
Adenan: Lebih 300,000 ahli PBB direkodkan di seluruh negeri tetapi seramai 20,000 ahli dikenal pasti belum mendaftar sebagai pengundi. Kita juga mengadakan kempen menambah keahlian dan PBB turut melancarkan laman web, www.pbb.org.my, yang menyediakan pautan pendaftaran atas talian bagi pengambilan ahli baharu secara mudah tanpa kerenah birokrasi melampau.
Wartawan: Tan Sri begitu tegas menyatakan bahawa UMNO tidak perlu ke Sarawak. Apakah alasannya?
Adenan: Kita tidak mahu UMNO datang ke Sarawak. Kita telah bincang perkara ini dengan Perdana Menteri, dia setuju UMNO tidak mahu pergi ke Sarawak. Dia akan memerlukan kita tapi jawapan saya, senang saja… sudah ada UMNO di Sarawak, hanya nama saja berbeza. Lagi pun kalau kita bubar PBB dan diganti dengan UMNO, banyak salah faham akan berlaku. Orang yang bukan Melayu, mungkin rasa prasangka. Sekarang kita sudah bekerjasama dengan jaya bersama orang Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dalam PBB. Tak usah kita ubah. Lagi pun kalau kita jadi UMNO, mungkin saya jadi Naib Presiden, beberapa orang lagi jadi ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO… satu hari mesyuarat UMNO dia kata, tak usah lagi ada dasar imigresen untuk Sarawak (kuasa imigresen), hapuskan saja. Mungkin kita akan bantah tapi kita tak boleh ‘over rule’ kerana majoriti akan sokong. Jadi di Sarawak, kita nampak macam bodoh. Orang akan kata, mengapa awak serah hak ini dan kemungkinan orang Melayu akan dipulaukan oleh kaum Bumiputera yang lain. Selagi kita percaya apa yang baik, sepanjang masa kita dapat menang kerusi untuk BN…. mereka tidak ada sebab untuk datang menyelamat kita. Sebenarnya kita yang menyelamat mereka.
Wartawan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai slogan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, manakala Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas PM) dengan slogan “Bekerja bersama saya, bukan untuk saya”. Pehin Seri Tun Taib Mahmud pula dengan jenama “Politik Pembangun”. Apakah slogan yang mahu diperkenalkan oleh Tan Sri?
Adenan: Saya tidak boleh melakukannya (mentadbir Sarawak) seorang diri… apa-apa perubahan yang kita buat (setahun lalu), tidak dapat buat seorang diri saja…. mestilah dengan pertolongan rakyat. Jadi ‘Give me a chance” … Itulah slogannya… BERI SAYA PELUANG!
Wartawan: Apa jangkaan cabaran untuk setahun akan datang?
Adenan: Saya tidak boleh lakukannya dalam satu tahun, sekurang-kurangnya mengambil masa beberapa tahun untuk mencapai semua objektif ini. Jadi, saya harap untuk memperoleh mandat daripada rakyat untuk meneruskannya (tugas membangun negeri dalam pelbagai aspek).
Wartawan: Cabaran untuk memenuhi aspirasi golongan muda?
Adenan: Kita mewujudkan lebih banyak peluang kerja. Itu sebabnya kita memberi penekanan kepada aspek pendidikan kemahiran. Sekarang ini, kalau setakat SPM tidak memadai dan mesti ada kemahiran supaya mudah mereka mendapat pekerjaan. Itu sebab kita perlu sekolah teknikal. Kita akan menambah lagi bilangan kolej teknikal di banyak tempat.
Wartawan: Sejak mengambil alih kepemimpinan kerajaan negeri setahun lalu, apa cabaran dihadapi Tan Sri dalam aspek untuk membangunkan Sarawak?
Adenan: Sejak ambil alih tampuk (kerajaan) negeri, kita telah membuat macam-macam keputusan yang kita percaya akan menolong rakyat. Salah satu ialah mengubah status tanah kepada (pajakan) 99 tahun… dulu dikurangkan daripada 99 kepada 60 tahun. Ini akan menguntungkan pemaju dan orang ramai kalau nilai tanah itu naik. Kita juga sudah mengukur tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan mewartakannya dalam masa dua tiga tahun ini… banyak lagi akan disukat (diukur) selain mengeluarkan geran hak milik tanah, dipercepatkan. Kita sudah menurunkan (hingga 47 peratus) caj tarif elektrik mulai 1 Januari lalu.. tarif (penggunaan) domestik dan kemungkinan besar kita juga turunkan kadar tarif (penggunaan) industri dan komersial. Ini mendapat sambutan baik daripada rakyat. Kalau kita beri harga (kadar) tarif istimewa kepada syarikat-syarikat asing yang beroperasi di Sarawak, mengapa tidak orang Sarawak biasa juga tidak boleh
Wartawan: Permintaan Sarawak untuk menaikkan kadar royaliti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus, apa perkembangan?
Adenan: Kita juga sedang berunding dengan Petronas supaya meningkatkan lagi pendapatan negeri. Setakat ini Petronas sudah setuju memberi kontrak bernilai RM2.1 bilion untuk syarikat-syarikat di Sarawak, memberi sokongan sosial korporat RM50 juta dan kerajaan negeri menentukan projek selain membina satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Mengenai (permintaan) peningkatan royalti belum selesai lagi tapi (masih) dalam rundingan. Kemungkinan besar akan dinaikkan kepada 20 peratus. Kita juga meminta ekuiti dinaikkan daripada lima peratus kepada 10 peratus dalam projek industri Gas Cecair Asli Malaysia (MLNG 4).
Wartawan: Andai semua permintaan ini ditunai, bermakna Sarawak mempunyai banyak peruntukan. Apa rancangan Tan Sri dengan peruntukan ini?
Adenan: Keuntungan yang kita dapat nanti, kita patutlah bahagi kepada rakyat, (tetapi) bukan cara BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), tapi cara lain seperti projek. Sekarang kita nak selesai masalah bekalan elektrik untuk kawsaan luar bandar. Lebih banyak lagi tempat di luar bandar yang tiada bekalan elektrik. Kita cuba cari cara bagaimana mengadakannya seperti di tempat jauh. Kita sekarang boleh menurunkan harga elektrik, kita sudah mula memperoleh pendapatan daripada royalti air.
Wartawan: Sejak memerintah, Tan Sri dilihat tidak berkompromi dengan isu pembakalan haram?
Adenan: Ya… kita sekarang berjaya menumpas beberapa orang yang mencuri kayu balak secara haram. Beberapa ratus tan dirampas. Kita akan meneruskannya, tiada tolak ansur. Yang menarik ialah rakyat biasa sudah banyak menolong kita memberi maklumat, tidak macam dulu. Kita tidak akan lagi mengeluarkan Lesen Pendudukan (OT) balak. Kita sedang mansuhkan atau tidak melanjutkan 67 OT lagi. (Nota: Sebanyak 572 lesen penebangan dikeluarkan oleh kerajaan negeri sehingga kini, membabitkan 204 lesen penebangan di tanah kerajaan dan estet hutan simpan serta 155 lesen OT, manakala bakinya untuk pengusaha kayu bakau dan kayu belian).