Seorang lagi perwira bergelar 'Bujang Berani' telah pergi meninggalkan kita! Ikutilah kupasan menarik dalam kehidupan beliau semasa menyoroti Hari Kemerdekaan ini. Sesungguhnya jasa beliau berjuang untuk kemerdekaan Malaysia begitu besar dan tidak mungkn dapat dibalas walaupun dengan sekeping pingat!
Semoga nama beliau sentiasa terukir dalam hati dan sanubari sebagai Bujang Berani dari Sarawak!
Indang pejuang yang tiada tandingnya
by Agnes Tugong. Utusan Borneo 31 Ogos 2012, Jumaat
PINGAT: Indang Engkas menunjukkan antara pingat yang pernah diterimanya.
KUCHING: Tidak mungkin ada hari ini tanpa hari semalam dan tidak mungkin ada kemerdekaan tanpa perjuangan pahlawan negara sejak 55 tahun lalu.
Hari ini (31 Ogos 2012) genaplah 55 tahun negara mencapai kemerdekaan, namun tidak ramai daripada kita yang benar-benar menghayati erti sebenar kemerdekaan.
Dan tidak ramai juga daripada kita yang benar-benar menghayati perjuangan pahlawan negara serta apa yang telah dikorbankan untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah.
Ketika Jalur Gemilang mula dikibarkan menjelang tibanya Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, negara menyaksikan perginya seorang lagi insan bergelar ‘Bujang Berani’ yang pernah berjuang demi kebebasan negara.
Pemergian insan ini, Pegawai Waran 2 (Bersara) Indang Engkas merupakan kehilangan yang besar kepada negara amnya dan negeri Sarawak khasnya.
Mungkin ramai di kalangan kita tidak mengetahui gerangan ‘Bujang Berani’ ini, namun di kalangan rakan seperjuangannya, mendiang Indang adalah seorang pejuang yang tiada tandingannya.
Tarikh 16 Ogos 2012 merupakan detik yang akan dikenang buat selama-lamanya oleh keluarga dan mereka yang mengenali Indang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun di Hospital Umum Sarawak.
Pemergiannya diratapi oleh ahli keluarga termasuk rakan-rakan seperjuangan ketika sama-sama berkhidmat sebagai Renjer Sarawak dan Renjer Malaysia mulai 1962 hingga 1992.
Pengalaman selama 27 tahun sebagai askar renjer, mendiang yang memegang nombor askar 901742 disifatkan sebagai seorang yang sangat rajin bekerja, komited dan berdisiplin tinggi sepanjang perkhidmatannya.
Meskipun hanya menamatkan pendidikan di peringkat darjah dua, namun mendiang merupakan salah seorang daripada 14 penerima Pingat Gagah Berani (PGB) daripada kerajaan.
Mengimbas kembali ringkasan kejadian yang memungkinkan mendiang menerima PGB daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim al-Muadzam Shah pada 7 Jun 1972, mendiang yang berasal dari Rumah Langkau, Kapit ditugaskan membuat rondaan mencari dan musnahkan musuh pada 20 Mei 1972.
Bersama enam anggota yang lain, mendiang yang berpangkat sarjan ketika itu dan kumpulannya berjaya menemui sekumpulan musuh berkekuatan kira-kira 30 orang. Sarjan Indang terus mengatur serangan mengejut dan berjaya membunuh seorang pengganas. Penjejakan diteruskan sehinggalah mereka bertembung semula dengan kumpulan pengganas tersebut.
Semasa mengambil kedudukan untuk membalas tembakan, seorang pengganas wanita mengacukan senjata ke arah Sarjan Indang dan menyuruhnya menyerah diri. Dengan pantas Sarjan Indang menepis senjata tersebut dan membunuh wanita itu dengan menggunakan parang. Beliau terus bergerak ke hadapan dan bertemu dengan seorang pengganas wanita yang cedera. Tanpa membuang masa Sarjan Indang menghayunkan parang dan membunuh pengganas tersebut. Serangan diteruskan dan hasilnya lima orang musuh berjaya dibunuh. Keseluruhannya mereka berjaya membunuh tujuh pengganas dan turut merampas 11 laras senjata dan peralatan lain.
Mendiang meninggalkan balu, Anna John dan enam orang anak, Lorita, Lora, Christina, Monica, Melisa dan Morses (lelaki).
Meskipun telah pergi buat selama-lamanya, namun jasa dan pengorbanan mendiang mempertaruhkan nyawa sendiri untuk menumpaskan musuh harus dikenang buat selama-lamanya.
Sebagai generasi baharu pada zaman yang serba moden ini, detik-detik ketika pahlawan-pahlawan negara berjuang menumpaskan musuh harus dijadikan iktibar oleh setiap rakyat negara ini.
Kejadian yang dilalui oleh pahlawan Indang, adalah kisah terbaik yang boleh dijadikan contoh oleh segenap lapisan rakyat khasnya generasi muda.
Apa yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada perjuangan pahlawan-pahlawan sejak 55 tahun lalu dan menjadi tanggungjawab kita memastikan apa yang telah dikecapi ini kekal buat selama-lamanya.
Justeru, sempena sambutan kemerdekaan 31 Ogos ini marilah kita sama-sama menyemarakkan suasana sambutan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.