Kenyataan Anwar bohong belaka, kata Ahmad Lai
Posted on October 27, 2011, Thursday
MIRI: Kenyataan Pemimpin Kanan Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa 92 peratus projek telah diluluskan di Sarawak tidak dilaksanakan adalah bohong belaka.
Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang menafikan sekeras-kerasnya hal berkenaan yang baginya hanyalah dakyah bohong pihak pembangkang.
“Perkara itu benar-benar bohong kerana kenyataan beliau (Anwar) tidak masuk akal sama sekali,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau memberikan contoh di kawasan beliau sendiri iaitu Sibuti di mana banyak projek yang dilaksanakan dan telah siap.
“Banyak projek termasuk pembinaan jalan raya, projek bekalan air, elektrik dan pelbagai lagi,” katanya sambil menyatakan beliau percaya pelbagai projek lain turut dilaksanakan di tempat-tempat lain di Sarawak.
Ini katanya termasuk semua projek berkaitan yang dilaksanakan di kawasan luar bandar.
“Saya tidak nafikan ada yang belum siap dan ada masih lagi dalam pembinaan serta sedang dijalankan, tetapi bukannya tidak dilaksanakan sama sekali,” ujar beliau.
Beliau pada masa sama memberitahu bahawa adalah satu kerugian jika rakyat tidak mempercayai kerajaan pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana semua projek dilaksanakan secara berterusan.
“Perdana Menteri telah berjanji bahawa BN akan melaksanaan projek-projek pembangunan, kemudahan dan seumpamanya secara berterusan,” kata Ahmad Lai lagi.
Beliau turut memberitahu bahawa antara projek-projek di kawasannnya termasuk pembinaan jalan di Saeh, Kampung Rancha-Rancha, Lusut, Lambir dan juga pelbagai projek lain.