Kes tak tunai janji pilihan raya: Selangor kalah lagi
BHarian Rafidah Mat Ruzki fidahruzki@bharian.com.my» Sebelum ini Khalid gagal sekat tuntutan 2,020 ibu tunggal
PEGUAM, Kamarudin Ahmad (kanan) bersama sebahagian 711 pengguna air Selangor selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, menolak permohonan kerajaan negeri dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk ketepikan saman mereka, semalam. » Mahkamah tolak permohonan MB ketepi saman 711 pengguna air
Shah Alam (5 Feb): Kerajaan Selangor dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam, gagal mengetepikan saman 711 pengguna air negeri itu atas dakwaan tidak menunaikan janji dalam manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 (PRU-12).
Ini kali kedua kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor gagal mengetepikan saman tuntutan janji PRU-12. Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Tinggi di sini juga mengetepikan permohonan kerajaan negeri dan Abdul Khalid terhadap saman 2,020 ibu tunggal atas dakwaan tidak memberi elaun seperti dijanjikan pada PRU-12.Dalam prosiding semalam, mahkamah sama menolak dengan kos permohonan kedua-dua defendan itu dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk mengetepikan saman pengguna air terbabit pada 11 September tahun lalu menuntut ganti rugi RM405,207 atas dakwaan tidak menerima subsidi air percuma seperti dijanjikan.
Mereka menamakan Abdul Khalid, kerajaan Selangor dan SYABAS sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak dan menetapkan 15 April depan untuk pengurusan kes.
Peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili plaintif berkata, keputusan itu membuktikan rakyat Selangor mempunyai asas untuk mengheret kerajaan Selangor dan Abdul Khalid ke mahkamah kerana membuat janji kosong.
“Harap ini menjadi pengajaran kepada kerajaan negeri supaya mendengar rintihan rakyat kerana plaintif adalah golongan berpendapatan rendah. Mereka kecewa kerana kerajaan negeri gagal tunaikan janji sehingga mereka susah payah datang ke mahkamah untuk mendapatkan hak mereka,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Janji air percuma
Dalam pernyataan tuntutan, 711 pengguna air itu mendakwa ketika kempen Pilihan Raya 2008, rakyat di Selangor dijanjikan untuk mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik.
Plaintif mendakwa berdasarkan manifesto kempen, setiap pengguna air domestik di Selangor yang mempunyai akaun dengan SYABAS layak menerima subsidi RM11.40 sebulan tidak kira sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal.
Mereka mendakwa selepas memenangi pilihan raya, kerajaan Selangor memulakan skim air percuma pada 1 Jun 2008 bagaimanapun plaintif mendakwa, mereka tidak menerima subsidi air percuma itu dan mendapati tiada sebarang potongan meter padu pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan oleh SYABAS.
Pada 23 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yaacob Md Sam ketika menolak permohonan kerajaan negeri dan Khalid berkata, ibu tunggal mempunyai asas dalam tuntutan mereka.
Dalam penghakimannya, Yaacob berkata dalam isu sama ada janji atau manifesto oleh kedua-dua defendan, mahkamah berpendapat isu itu adalah isu fakta dan undang-undang yang membabitkan keperluan keterangan serta tafsiran terhadapnya.
Beliau berkata, janji itu masih wujud dan berterusan untuk diterjemahkan sebagai polisi yang mendorong dan memberi keyakinan serta kepercayaan kepada pengundi untuk bertindak.