"Keputusan Akan Bersihkan Nama Saya Tapi Pendakwa Masih Boleh Cabar" - AnwarIsnin Januari 9, 2012
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersyukur dengan keputusan mahkamah membebas dan memutuskan beliau tidak bersalah di atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lepas.
Sambil menyifatkan keputusan itu berjaya membersihkan namanya, Anwarbagaimanapun akur bahawa keputusan berkenaan masih boleh dicabarsekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuanterhadap keputusan hakim.
"Alhamdulillah...Alhamdulillah saya bersyukur kerana akhirnya nama saya dibersihkan dan keadilan dapat ditegakkan.
"Sekarang masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa kerana ruang untuk pendakwa meneruskan (rayuan) masih ada.
"Saya hanya bersyukur apa yang didengar pada hari ini. Usaha mengaibkan dan memfitnah saya ditolak hakim," katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini, Isnin sebaik sahaja dibebaskan.
Mahkamah pada Isnin membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menyatakan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa integriti sampel DNA yang dikemukakan sebagai bukti tidak terusik.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan barisan peguamnya sepanjang perbicaraan kes berkenaan berlangsung sejak 2008.
"Saya ucapkan terima kasih kepada (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dan keluarga kerana bersama mengharungi liku yang pedih ini. "Saya ucap tahniah kepada kewibawaan, kepintaran dan kesungguhan Karpal (Singh) dan barisan peguam yang bekerja bertungkus lumus dengan penuh komitmen sebagai pejuang yang mahu menegakkan keadilan," katanya.-mStar