ADUN Belawai telah memberi garis panduan yang baharu mengenai teknologi Perwira Maya. Beliau berkata demikian di hadapan PBPM cawangan Sarikei.
Menurut beliau teknologi ini penuh keganasan dan dipelopori oleh orang muda. Mereka ini sentiasa tidak puas dn menimbulkan kekecohan mengenai kerajaan dan pemimpin masa lalu yang sanggup berkorban untuk negara.
Kita hadapi cabaran besar dalam teknologi ‘Cyber Trooper’, kata Len
Posted on May 27, 2013, Monday
SARIKEI: Kepimpinan dan pentadbiran negara kini sedang menghadapi masalah mencabar dengan pengaruh kuatkterhadap generasi muda berikutan perkembangan teknologi perwira maya (Cyber Trooper).
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata peranan keterbukaan serta perkembangan dunia teknologi maklumat (IT) tanpa sempadan serta media baharu seperti Internet, Facebook, blog dan Twitter banyak memberi pendedahan berkonsep keganasan tanpa had kepada golongan muda.
“Melalui ‘Cyber Trooper’ ini, pihak tidak bertanggungjawab bertindak menggadai maruah bangsa dan negara dengan menyebarkan pelbagai hasutan, dengan matlamat memporak-perandakan negara demi kepentingan diri.
“Rakyat dihasut, maklumat palsu disebarkan dan semua perkara ini menunjukkan sikap ketidakmatangan, tidak berterima kasih serta tidak pernah menghargai perjuangan generasi lalu yang telah banyak berkorban daripada pelbagai aspek,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan/Pemilihan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Sarikei, semalam.
Mesyuarat itu dihadiri kira-kira 50 ahli berdaftar PBPM Sarikei yang merupakan bekas-bekas polis dari kawasan Sarikei, Bintangor, Belawai Tanjung Manis, Julau dan Pakan.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai menasihati ahli-ahli PBPM agar memainkan peranan dalam mengatasi masalah ‘Cyber Trooper’ kerana masalah itu bukan hanya masalah kepimpinan negara tetapi masalah bersama.
“Kita amat memerlukan kepakaran dan pengalaman bekas-bekas petugas keselamatan negara seperti bekas polis dalam mengatasi masalah ini.
“Ini terutamanya dalam menjalankan tanggungjawab sosial berkonsepkan memberi kesedaran kepada semua pihak tentang betapa pentingnya perpaduan dan kedaulatan negara dipertahankan.
“Masyarakat juga harus sedar bahawa keganasan bukanlah satu cara dan langkah terbaik menyelesaikan suatu masalah atau menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PBPM Sarikei Abang Ibrahim berkata hingga kini PBPM Sarikei mempunyai 100 ahli berdaftar.
“Persatuan ini amat penting bagi kita kerana ia berperanan dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya.
“Justeru, kita menyeru bekas-bekas polis yang bersara dan belum mendaftar sebagai ahli persatuan agar menyertai PBPM kerana memberi banyak manfaat positif kepada ahli-ahlinya,” jelas Abang Ibrahim.
Pada majlis itu, Len mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM5,000 kepada PBPM Cawangan Sarikei.
Hadir sama Timbalan Residen (Pembangunan) Sarikei Hamidah Halpi, Exco PBPM Sarawak Joh Zakaria Saini, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Ahmat Adai serta tetamu lain.