Barisan terbaik diketengah
by Saibi Gi, Mahathir Haroun, Jessica Jawing dan Sandy Mark Luna. Posted on April 18, 2013, ThursdayMANIFESTO RAKYAT: Taib bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri) dan Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri James Masing (kanan) menunjukkan buku Manifesto BN Sarawak 2013 ketika pelancarannya di Ibu Pejabat PBB di Kuching, semalam. — Gambar Bernama
Calon-calon BN Sarawak diyakini bantu Najib bentuk kerajaan persekutuan baharu
KUCHING: Calon-calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini merupakan barisan terbaik dalam usaha membantu BN membentuk kerajaan persekutuan baharu.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau berpuas hati dengan pemilihan calon-calon dari kalangan parti-parti komponen BN Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
“Kita berharap mampu meraih kejayaan cemerlang berdasarkan pemilihan caloncalon ini, sekali gus membantu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mendapat kemenangan dua pertiga,” katanya pada perjumpaan dengan calon-calon BN Sarawak di sini, semalam.
Beliau berkata lagi, ketelitian dalam proses pemilihan calon diharap memastikan BN turut meraih kejayaan lebih dua pertiga di negeri ini.
BN Sarawak akan bertanding di semua 31 kawasan Parlimen di Sarawak dengan menampilkan lapan muka baharu dari empat parti komponen itu.
Pengumuman calon-calon BN dilakukan Taib kelmarin.
Pada majlis semalam, Taib turut melancarkan Manifesto BN Sarawak 2013 bagi melengkapkan manifesto BN di peringkat pusat bertujuan mengukuhkan lagi penjelasan tentang matlamat pembangunan yang cuba dicapai BN.
Katanya, manifesto tersebut menerangkan kepada rakyat tentang lima perkara, terdiri daripada tadbir urus yang baik; transformasi ekonomi negeri; transformasi luar bandar; kesejahteraan rakyat; dan persekitaran mapan.
Tadbir urus yang baik dibuktikan dengan pengiktirafan oleh Agensi Pengkadaran Antarabangsa yang memberi ‘A3 dengan pencapaian stabil’ dan ‘Apenarafan dengan pencapaian stabil,’ katanya.
“Negeri Sarawak telah diiktiraf dan diperakui oleh Ketua Audit Negara untuk 10 tahun berturut-turut sehingga sekarang.
Ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi kita berada di paras yang baik,” ujarnya.
Transformasi ekonomi negeri pula bertujuan menjamin ekonomi negeri Sarawak pesat membangun melalui pelan pembangunan yang jelas dan tersusun, jelasnya.
“Kemajuan ekonomi dapat dicapai dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang menjana banyak pelaburan, perniagaan dan pekerjaan untuk semua.
“SCORE merupakan rancangan kerajaan untuk membawa Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” tambahnya
Menurut Taib, Sarawak kini bergerak ke arah sektor ekonomi dan ini merupakan kesan pelaksanaan SCORE, sekali gus ia bakal membawa kesan lebih besar pada masa depan.
“SCORE akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
Pelaksanaan dan kejayaan SCORE adalah amat penting dan merupakan pilihan terbaik untuk melonjak ekonomi negeri,” katanya.
Beliau menyifatkan manifesto tambahan itu sebagai baik untuk rakyat dan memberi jaminan agar Sarawak menjadi sebuah negeri maju.
“Ini adalah cara kita (Sarawak) mentafsirkan dan mengadunkan manifesto BN peringkat kebangsaan ke dalam manifesto BN Sarawak.
Ini lebih relevan dengan visi kepemimpinan BN di Sarawak,” katanya.