Posted BERNAMA 25 September, 2011 15:29 PM
Beliau berkata TGA akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh penangguhan semalam.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang bermesyuarat semalam sebulat suara untuk membatalkan TGA setelah mendapati salah seorang calon untuk bertanding jawatan presiden iaitu Michael Lias merupakan anggota sebuah parti politik lain iaitu Parti Progresif Rakyat (PPP).
"Kita tidak tahu Michael anggota kepada PPP sehinggalah kita menerima surat daripada parti tersebut pada 21 Sept lalu yang menyatakan beliau masih ahli yang sah sejak 14 Sept 2009," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Berikutan perkara tersebut, Lias perlu memberi surat tujuk sebab kepada CEC dalam tempoh 30 hari sebelum memberi keputusan sama ada beliau layak untuk kekal dalam SNAP.
Menurutnya SNAP tidak mahu sebarang masalah timbul dalam pemilihan pada TGA yang boleh membawa kepada pembatalan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti yang berlaku sebelum ini.
Katanya sebagai sebuah parti pembangkang perkara tersebut boleh digunakan oleh pihak lawan dalam politik untuk menjatuhkan SNAP sekali lagi.
"Saya tidak mahu menuduh sesiapa pun dalam perkara ini, namun saya rasakan ada pihak yang mahu melihat SNAP dihapuskan," kata Dundang.
Dalam pada itu, Penasihat SNAP Datuk Seri Daniel Tajem berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam membuat draf perlembagaan SNAP pada awal penubuhannya pada 1968, langkah untuk menangguhkan TGA itu merupakan langkah terbaik untuk memastikan parti tersebut kekal hidup sebagai sebuah parti politik di negeri ini.
Katanya walaupun TGA tersebut ditangguhkan namun mesyuarat sayapnya iaitu Wanita dan Pemuda SNAP adalah sah dari segi perlembagaan parti.
"Ia (sayap Wanita dan Pemuda SNAP) adalah bahagian yang berasingan mengikut perlembagaan parti dan penangguhan tersebut (TGA) tidak akan memberi kesan," katanya.
-- BERNAMA