
petang mukaku menunggu cahaya...



Kes liwat: Anwar Ibrahim dilepas, dibebaskan daripada tuduhan
09/01/2012 9:45am
KUALA LUMPUR 9 Jan. – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa. – UTUSAN
Sedia dedah rahsia 'bateri 3A'
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Ummi Hafilda Ali, saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 berjanji akan mendedahkan rahsia dahsyat kepimpinan atasan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau trio 'bateri 3A' sekiranya mereka tidak bertaubat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Ummi Hafilda Ali
Ummi memberi amaran itu kerana beliau tidak sanggup melihat trio berkenaan iaitu Anwar, isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan abangnya sendiri, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terus mengelirukan rakyat dengan dakyah demi kepentingan politik mereka.
"Hari ini mereka panggil polis anjing tetapi semasa Anwar berkuasa pada 1997, dia guna 50 orang polis untuk menangkap saya, jadi orang muda terutama mahasiswa perlu tahu siapa yang buat salah laku dan salah guna kuasa.
"Wan Azizah mempunyai pengaruh untuk menasihatkan suami kembali ke pangkal jalan, jangan sampai saya serta 'geng' iaitu (Datuk) Nallakaruppan, (Datuk) Zulkifli Noordin dan Rahimi Osman dedahkan perkara sampai nanti mereka (3A) tidak boleh angkat kepala. Kami merayu mereka kembali ke pangkal jalan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di sini hari ini bagi meminta ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti pembangkang itu menghentikan perjuangan politik mereka yang didakwanya mempunyai kepentingan peribadi dan bertujuan menukar sistem negara ini kepada sebuah republik.
Dalam perkembangan berkaitan, kata Ummi, beliau tidak akan berhenti mendedahkan kepincangan serta kelemahan ketiga-tiga mereka termasuk Azmin sungguhpun mereka adalah adik-beradik sehingga kesemuanya bersara daripada politik dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia.
"Tetapi saya masih mempunyai sifat perikemanusiaan dan kalau boleh enggan mendedahkan keburukan abang kandung saya sendiri.
"Mereka perlu bertaubat dan meminta maaf seperti bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton yang memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negara itu atas skandal seksnya," katanya.
Sementara itu, Ummi Hafilda yakin Azmin serta PKR tidak akan mampu mengumpulkan sehingga 100,000 penyokong fanatik Anwar untuk memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang itu dalam Kempen Bebaskan Anwar 901 di ibu negara Isnin ini.
"Azmin boleh berangan seperti Mat Jenin. Dia juga pernah berangan akan menjadi Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum lalu tetapi tiada apa yang berlaku," katanya.
Anwar: Pakatan tak akan lenyap meskipun saya dipenjara
Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
Tarikh : January 3, 2012
PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan berkubur meskipun beliau didapati bersalah dan dipenjarakan berhubung tuduhan kes liwat, minggu depan.
Justeru kata Anwar, PR telah bersedia terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan telah membuat persiapan rapi.
"Pendakwaan terhadap saya bukan baru. Sudah tiga tahun dan pimpinan PR ini juga bukan baru. Apakah kita mempunyai persiapan? jawapannya, ya! Kita juga telah bincang tentang sebarang kemungkinan. Kita buat persiapan cukup.
"Saya tidak menolak sebarang kemungkinan dan risiko. Cuma saya mahu ingatkan, siri jelajah yang dilakukan (kempen 901) bukan soal peribadi. Tetapi, mengenai soal rakyat, ekonomi dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi PR hari ini.
Ketua Umum PR berhadapan dengan tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.
Keputusan mahkamah berhubung kes liwat melibatkan Anwar akan diketahui Isnin depan.
Selain itu, Anwar turut menegaskan, jika beliau dijatuhkan hukuman penjara sekalipun, ia tidak bermakna PR akan tumbang.
Katanya, "kalau ada orang Umno fikir dengan memenjarakan atau melenyapkan Anwar akan menjejaskan PR, itu silap. PR terdiri daripada asas dan dasar perjuangan yang jelas. Dasar kami ialah untuk kebaikkan negara," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seluruh ahli keluarganya mengambil sikap bersedia terhadap segala kemungkinan mengenai keputusan kesnya.
Malah, katanya, program-program bagi mempersiapkan PR untuk tawan Putrajaya pada pilihan raya ke-13 juga akan diteruskan.
PUTRAJAYA, 19 Dis – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menafikan bahawa beliau pernah meminta bantuan kewangan daripada Bank Dunia, sama ada semasa krisis kewangan tahun 1997 atau selepas itu.
Mengulas mengenai pendedahan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli hari ini yang mengemukakan tiga dokumen yang didakwa sebagai bukti beliau pernah membuat pinjaman itu, Dr Mahathir berkata beliau perlu membuat pengesahan dengan Bank Dunia untuk melihat sama ada dokumen itu asli atau tidak.
“Saya nak tengok... Saya nak pi (pergi) tanya World Bank betul ka ini... pasal sekarang ni taulah gambar manusia dengan badan lain pun boleh buat.
“Sepanjang yang saya ingat dan saya tidak lupa, saya tidak pernah menghantar sebarang permintaan bagi sebarang wang, tidak semasa krisis kewangan atau malah selepas itu. Saya (ketika itu) baru saja kecam World Bank, lepas tu nak minta duit kat dia buat apa? Bodohlah saya,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan 26 peserta program realiti Adik-Adikku di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Dipetik Bernama Online, Dr Mahathir turut mempertikaikan mengapa dokumen seperti itu tiba-tiba muncul, sedangkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan beliau tidak mempunyai dokumen itu sebelum ini.
“Kenapa baru hari ni, dah berapa tahun dah, baru keluar? Pasal politiklah, pasal pilihan raya, nak burukkan orang lain,” katanya.
Anwar ketika berucap pada majlis makan malam membincangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang turut dihadiri wakil kedutaan asing baru-baru ini dilaporkan mendakwa Dr Mahathir ada menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan.Dr Mahathir kemudiannya mencabar Anwar bersumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan perkara itu.
PM Lancar 1Malaysia TV
KUALA LUMPUR 18 Dis. – Sejarah media baru negara telah terukir hari ini dengan pelancaran televisyen Internet dan mobil pertama negara, 1Malaysia TV oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Televisyen interaktif yang boleh dilayari menggunakan telefon pintar dan tablet itu merupakan wadah dan sumber terbaharu bagi belia mendapatkan maklumat, berita dan mesej meliputi isu-isu semasa yang melibatkan golongan tersebut.
Dengan melayari www.1malaysiaiptv.com.my atau www.erama.tv/mobiletv, pengguna boleh mengakses rangkaian saluran menarik seperti RTM1, RTM2, TV3, TV AlHijrah, My Youth TV (MyTV), CCTV1, e-Korea TV dan Documentary TV.
Penasihatnya, Datuk Md. Afendi Hamdan, berkata pelancaran saluran Internet itu adalah sejajar dengan galakan kerajaan dalam membawa gagasan 1Malaysia ke dalam media baru yang canggih merangkumi dunia Internet, peralatan komunikasi digital dan telefon mudah alih pintar.
“Lebih membanggakan Malaysia Book of Records (MBOR) turut mengiktirafkan 1Malaysia TV sebagai saluran media baru pertama yang berkonsep 1Malaysia.
“Ia bertepatan dengan cita rasa golongan muda yang mahukan maklumat terkini dengan lebih pantas selain mampu meletakkan negara pada kedudukan dalam kalangan yang terbaik.
“Ini kerana, penyebaran maklumat menerusi media baru ini mampu menjamin kebolehan media tempatan menyebarkan pengisian maklumat ke dunia yang lebih luas tanpa sempadan.
“Dunia media baru mampu mencapai sasaran terutamanya bagi golongan muda yang amat bergantung kepada Internet dan peralatan telekomunikasi mudah alih pintar dalam kehidupan seharian mereka,” katanya pada majlis Pelancaran 1Malaysia TV di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’cruz serta pengarah filem Ahmad Idham.
Pada majlis berkenaan, Rosmah mendapat kejutan berupa sebuah kek sempena hari kelahirannya ke-60.
Tambah Md. Afendi, perkembangan pantas teknologi baharu yang telah mengubah cara hidup dan berfikir generasi masa kini kepada kehidupan yang serba canggih turut selari dengan pendekatan kerajaan selama ini.
“Justeru, bagi menyahut usaha-usaha kerajaan ini, kita wujudkan kesinambungan di antara segenap lapisan generasi yang berbeza agar masyarakat bergerak pada aliran masa yang sama dan tidak ketinggalan,” ujarnya.
Aplikasi 1Malaysia TV juga boleh dimuat turun melalui iTunes App Store bagi iPhone, Blackberry App World (Blackberry) dan Android Market (Android) secara percuma selama tiga hari iaitu bermula hari ini dan akan mengenakan bayaran RM3 selepas itu.
-UTUSAN-
Tempat: Dewan Rukuntetangga SS5C Kelana Jaya (depan Kompleks Tabung Haji),Tarikh: 14.12.2011Masa: 8.30malam.
Kenyataan Akhbar Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 30.11.2011
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ahmad Maslan Harus Berhenti Menggunakan Kaum Cina Dan Penganut Kristian Sebagai Sasaran Mudah Untuk Mencetuskan Kebencian Dan Permusuhan Terhadap Rakyat Minoriti Yang Tidak Bersalah Hanya Untuk Menakutkan Orang Melayu Supaya Kembali Ke Pangkuan UMNO.
Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan sedang bermain dengan api dengan memangsakan kaum-kaum minoriti di Malaysia sebagai ancaman untuk menakutkan orang Melayu supaya kembali ke pangkuan UMNO. Kedua-dua pemimpin UMNO ini harus berhenti menggunakan kaum Cina dan penganut Kristian sebagai sasaran mudah untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersalah.
Mengikut laporan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggunakan isu perkauman untuk meniup semangat ahli-ahli UMNO untuk mempertahankan bangsa, budaya dan institusi negara daripada Pakatan Rakyat (PR), di samping memfitnahkan DAP sebagai anti-Islam dan anti-Melayu. DAP mencabar Muhyiddin untuk membuktikan dakwaannya bahawa agenda DAP adalah untuk membentukkan sebuah negara republik. Ini adalah hasutan dan penipuan semata-mata!
Adakah Muhyiddin dan UMNO sudah ketandusan idea sampai apa-apa skandal kerajaan yang dibongkarkan DAP akan dianggap sebagai serangan terhadap kaum Melayu? Bukankah wang awam yang terbabit dalam skandal-skandal kewangan itu kepunyaan orang Melayu juga? Adakah cukup dengan pendekatan Muhyiddin yang mengaku dirinya Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian, sampai prinsip-prinsip demokrasi, integriti, amanah dan ketelusan semuanya boleh diabaikan begitu sahaja?
DAP percaya bahawa majoriti rakyat Malaysia, sama ada Melayu atau bukan Melayu, akan menolak hujah yang mewajarkan penipuan dan skandal kewangan atas nama perkauman, seperti dalam skandal lembu dan kondo mewah seorang Menteri UMNO, ataupun pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang terlebihan belanja oleh jabatan-jabatan kerajaan sebanyak RM3.7 bilion.
DAP tidak pernah mengambil pendirian anti-Melayu atau anti-Islam. Kenaikan berkali-kali ganda peruntukan untuk hal-ehwal agama Islam di Pulau Pinang serta penerusan peruntukan untuk sekolah-sekolah agama yang telah ditamatkan oleh UMNO menjadi bukti bahawa DAP menghormati Islam dan adil kepada semua. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah mengusir walaupun sebuah rumah kampung Melayu. Satu-satunya rumah kampung Melayu yang pernah dirobohkan di Pulau Pinang telah diroboh oleh pemaju-kaitan-UMNO yang dipengerusikan seorang bekas ADUN UMNO.
Mungkin menjadi strategi politik yang berkesan bagi UMNO untuk mengambil pendirian anti-Cina, anti-India atau anti-Kristian, tetapi hanya parti yang ingin membunuh diri sahaja yang akan mengambil pendirian anti-Melayu atau anti-Islam. DAP tidak ingin membunuh diri tetapi komited ke arah perdamaian kebangsaan dan kerjasama antara semua.
Di manakah pendekatan sederhana yang dijanjikan konsep 1Malaysia Perdana Menteri, apabila Ketua Penerangan UMNO sendiri boleh mengugut Melayu dengan mengatakan bahawa mereka akan kehilangan hak kerana kononnya masyarakat Cina makin bertambah kuasa dari segi politik dan ekonomi, atau dengan mengatakan bahawa DAP tidak menghormati institusi raja kerana enggan menerima pingat atau darjah kebesaran yang membawa gelaran-gelaran seperti Datuk?
Pemimpin-pemimpin DAP tidak pernah mengejar gelaran-gelaran seperti Datuk, bukan macam pemimpin-pemimpin BN yang terhegeh-hegeh mengejarnya. Adakah ini bermakna kami tidak menghormati institusi Raja? Jika begitu, adakah mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba juga seorang yang tidak menghormati institusi raja kerana allahyarham juga enggan menerima apa-apa gelaran semasa aktif berpolitik?
Tambahan pula, bagaimana masyarakat Cina boleh bertambah kuasa dari segi politik dan ekonomi apabila bilangan penjawat awam yang berbangsa Cina makin menurun? Di samping itu, masyarakat Cina sudah tidak lagi menguasai sektor-sektor ekonomi seperti perbankan, insuran, industri automobil, pembinaan, komunikasi dan pengangkutan.
Ahmad juga telah menyindir DAP sebagai "agen Kristian" kerana Ronnie Liu, Xavier, Elizabeth, Teresa Kok merupakan EXCO Kerajaan Negeri Selangor. Setelah disiasat berulang kali, pihak berkuasa sudah pun mengakui bahawa tidak ada berlaku sebarang penyebaran agama Kristian oleh DAP. Adakah seseorang itu tidak berlayak untuk menjadi ahli EXCO kerana beliau itu seorang penganut Kristian? Tambahan pula, Ronnie Liu bukan seorang penganut Kristian.
Tindakan Ahmad untuk mensasarkan kaum Cina dan penganut Kristian sebagai ancaman kepada orang Melayu adalah perbuatan yang tidak berbeza dengan taktik ketakutan yang digunakan oleh Hilter pada zaman Nazi di negara Jerman untuk mengekalkan kuasa mutlaknya sebagai diktator. Minoriti yang tidak bersalah di negara Jerman telah mengalami penderitaan di bawah pemerintahan Hitler. Adalah tidak berperi kemanusiaan bagi UMNO untuk menggunakan penipuan dan fitnah yang serupa hanya untuk memenangi sokongan Melayu.
Iklim ketakutan, permusuhan dan kebencian yang digalakkan UMNO bukan sahaja bertentangan dengan 1Malaysia malah membinasakan perpaduan negara dan keharmonian kaum. Kita semua tahu kerosakan yang telah dibawa oleh Hitler kepada negara Jerman. Oleh itu, rakyat Malaysia hendaklah bersatu dalam pilihan raya umum yang akan datang untuk menghalang UMNO daripada melakukan kerosakan yang sama kepada negara Malaysia.
Wednesday, November 30, 2011
Calon boleh menang perlu faham peralihan generasi
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR 30 Nov. — Seseorang calon yang dianggap calon boleh menang perlu memahami perubahan pemikiran yang berlaku pada kalangan generasi muda yang menguasai hampir 40 peratus undi, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, anjakan pemikiran, kebangkitan idealisme dan keberanian pemimpin muda membawa pembaharuan positif menggambarkan betapa penting dan gentingnya transformasi idea dalam memacu kebangkitan dan haluan serta nasib sesuatu masyarakat dan negara.
"Kita perlu sedar faktor besar yang menentukan kalah menang dalam pilihan raya adalah pengundi muda yang dianggarkan hampir 40 peratus... golongan pengundi generasi baru ini nyata mempunyai congakan dan pola pemikiran yang cukup berbeza daripada generasi sebelumnya,” katanya dalam ucapan dasarnya selama sejam pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2011 di sini, hari ini.
Beliau berkata, kajian makmal Pemuda mendedahkan sandaran undian anak muda adalah 35 peratus berdasarkan parti, 34 peratus calon dan 27 peratus pemimpin utama peringkat nasional.
Katanya kajian itu juga mendapati bahawa 62 peratus daripada mereka adalah kelompok atas pagar yang hanya akan memilih parti dan calon yang dianggap terbaik.
"Maka sangkaan dan kepercayaan bahawa rakyat sentiasa menyokong Barisan Nasional (BN) walau siapapun calon kita, adalah mitos dan meleset sama sekali.
"Bukan sekadar pertimbangan yang diambil kira dalam mengundi generasi muda amat berbeza, kita juga perlu menerima hakikat bahawa merekalah faktor penentu kalah menang bagi banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-13... atas dasar ini, calon boleh menang adalah mereka yang antara lain berupaya memahami dan berkongsi perspektif yang mesra generasi muda,” katanya. — Bernama
Anda dinasihat agar tidak mengakses sebarang maklumat jika terdapat ketidaksesuaian, dan tinggalkan laman ini dengan serta-merta.
Semua catatan di blog ini hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak, individu atau parti politik.
MUKAPETANG tidak bertanggungjawab kepada anda, atau sesiapa sahaja yang membuat sebarang tuntutan bagi kehilangan, kemusnahan (secara langsung atau tidak langsung), kos, liabiliti atau gantirugi terhadap ketidaktepatan, hakcipta serta kesilapan maklumat/media yang terdapat dalam blog ini.
Copyright 2010 MUKAPETANG™
Designed by CamelGraph |
Bloggerized by Lasantha - Premiumbloggertemplates.com
Top Web Hosts | Web Development by WebDesigningCompany.Net | websites for accountants