Wednesday, November 30, 2011
Calon boleh menang perlu faham peralihan generasi
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR 30 Nov. — Seseorang calon yang dianggap calon boleh menang perlu memahami perubahan pemikiran yang berlaku pada kalangan generasi muda yang menguasai hampir 40 peratus undi, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, anjakan pemikiran, kebangkitan idealisme dan keberanian pemimpin muda membawa pembaharuan positif menggambarkan betapa penting dan gentingnya transformasi idea dalam memacu kebangkitan dan haluan serta nasib sesuatu masyarakat dan negara.
"Kita perlu sedar faktor besar yang menentukan kalah menang dalam pilihan raya adalah pengundi muda yang dianggarkan hampir 40 peratus... golongan pengundi generasi baru ini nyata mempunyai congakan dan pola pemikiran yang cukup berbeza daripada generasi sebelumnya,” katanya dalam ucapan dasarnya selama sejam pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2011 di sini, hari ini.
Beliau berkata, kajian makmal Pemuda mendedahkan sandaran undian anak muda adalah 35 peratus berdasarkan parti, 34 peratus calon dan 27 peratus pemimpin utama peringkat nasional.
Katanya kajian itu juga mendapati bahawa 62 peratus daripada mereka adalah kelompok atas pagar yang hanya akan memilih parti dan calon yang dianggap terbaik.
"Maka sangkaan dan kepercayaan bahawa rakyat sentiasa menyokong Barisan Nasional (BN) walau siapapun calon kita, adalah mitos dan meleset sama sekali.
"Bukan sekadar pertimbangan yang diambil kira dalam mengundi generasi muda amat berbeza, kita juga perlu menerima hakikat bahawa merekalah faktor penentu kalah menang bagi banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-13... atas dasar ini, calon boleh menang adalah mereka yang antara lain berupaya memahami dan berkongsi perspektif yang mesra generasi muda,” katanya. — Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!