Foto credit to kuchingitam.blogspot.com |
MoCS tidak menghormati bulan Ramadan
by Agnes Tugong. Posted on July 15, 2011, Friday
Tindakan adakan rapat umum pada 13 Ogos disifatkan tidak menghormati bulan puasa
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menyifatkan tindakan Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS) untuk mengadakan rapat umum pada 13 Ogos sebagai tidak menghormati bulan puasa.
Penganjuran perhimpunan bertemakan ‘Berjalan Untuk Demokrasi dan Reformasi’ ini menurutnya, jelas sekali menunjukkan tiada persefahaman komuniti 1Malaysia dalam MoCS.
“MoCS merupakan pergerakan haram yang tidak diiktiraf oleh mana-mana pertubuhan termasuk Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Kedegilan mereka untuk terus mengadakan rapat umum pada 13 Ogos ini bukan sahaja tidak menghormati bulan puasa malah mempertikaikan amalan demokrasi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin MoCS semalam pada sidang media di RTM Kuching di sini.
Tambah Dr Hazland, pembangkang kini mempunyai 15 wakil dalam Dewan Undangan Negeri.
Mereka (pembangkang) sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk mengemukakan sebarang permasalahan atau rasa tidak puas hati dan bukannya dengan cara sebaliknya.
“Tiada alasan munasabah untuk mereka mengadakan rapat umum. Pada pandangan saya ia hanya akan mendatangkan keburukan kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Semalam, pemimpin MoCS, Francis Siah dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah membuat keputusan untuk menganjurkan perhimpunan bertemakan ‘Berjalan Untuk Demokrasi dan Reformasi’.
Perhimpunan itu dijadualkan pada 13 Ogos depan bermula jam 2 petang hingga 5 petang dan akan mengeluarkan 10 deklarasi.
Pihak MoCS turut menggalakkan peserta yang terlibat memakai pakaian berwarna merah iaitu warna tema MoCS.
Mengulas mengenai perkembangan perhimpunan haram BERSIH 2.0, Dr Hazland yakin rakyat negeri ini khasnya di Demak Laut tidak akan terlibat dalam perhimpunan itu.
Bagaimanapun jelasnya, ahli-ahli Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil tindakan ke atas pengikut-pengikut BERSIH secara melulu sebaliknya bertindak secara profesional.