|
CERIA: Jabu (kiri) bersama dengan Nilie (dua kiri) melihat tatu pada badan ketua upacara majlis adat, ‘Lemambang’ Bangkong Seligi dari Kapit semasa upacara ‘Miring Ops Mai Pulai’ tersebut. |
by Jeremy Lanson. theborneopost.com Posted on July 21, 2011, Thursday
KUCHING: Rangka 21 anggota Iban Trackers yang terkorban di Semenanjung Malaysia dan Singapura ketika menentang komunis pada zaman darurat dahulu akan dikebumikan semula di satu tapak perkuburan Kristian berdekatan dengan Gereja St Joseph pada 27 Julai ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Partinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, usaha itu bagi membuktikan keprihatinan kerajaan yang tidak pernah mengabaikan atau melupakan jasa serta pengorbanan ‘Iban Trackers’ yang berjuang mempertahankan negara suatu ketika dahulu.
Menurut beliau, perkara ini jelas dibuktikan apabila kerajaan di peringkat pusat dan negeri telah bersetuju untuk mencari dan membawa pulang rangka 21 orang ‘Iban Trackers’ untuk pulang dan dikebumikan di tanah kelahiran mereka sendiri.
“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana tanpa ragu-ragu telah bersetuju membawa balik 21 pahlawan Iban gagah berani ini dari tempat di mana mereka telah disemadikan semasa terkorban dalam perjuangan.
“Kita percaya keadaan yang begitu mendesak pada masa itu membuatkan mereka (Iban Trackers) terpaksa dikuburkan juga, tetapi kini keadaan sudah aman dan disebabkan itu kita mahu membawa mereka pulang ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis ‘Miring Ops Mai Pulai’ (Ops Bawa Balik) di pejabat Majlis Adat Istiadat Jabatan Ketua Menteri, di sini malam kelmarin.
“Mereka (Iban Trackers) berkorban nyawa ketika menjalankan tugas mempertahankan negara, maka kerajaan memberi penghormatan yang cukup tinggi kepada askar-askar khususnya askar-askar Iban kita,” tambahnya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Majlis Adat Istiadat Datu Nillie Tangai.
Menurut Jabu, 21 rangka ‘Iban Trackers’ itu akan ditempatkan di sebuah tapak perkuburan yang telah disumbangkan oleh kerajaan negeri.
“Tempat ini merupakan satu kawasan yang amat baik di Bandaraya Kuching iaitu berdekatan dengan tapak perkuburan askar yang terletak berdekatan dengan Gereja St Joseph dan Sarawak Club.
“Kawasan ini sangat bersesuaian dan kita tidak mahu melakukan kerja ini secara sambil lewa dan sebarangan, kita mahu memberikan perhormatan kepada mereka (Iban Trackers),” katanya.
21 Iban Trackers yang dimaksudkan ialah
- Ungkok Anak Jugam,
- FF/829 Jaweng Anak Jugah,
- 900506 Unggat Anak Ujom,
- 900172 Ugap Anak Utut,
- 900601 Letan Anak Kusing,
- 900665 Nyambik Anak Pasang,
- 900815 Kumpang Anak Tinggi,
- FF/253 Bulan Anak Kasau,
- FF/1254 Kelambu Anak Gadung,
- FF/575 Untang Anak Engan,
- Rejap Anak Bagi,
- FF/825 Entap Anak Tulu,
- FF/1083 Nyantau Anak Juna,
- Manit Anak Cheling,
- Nyaru Anak Talap,
- Mat Anak Akit,
- Empati Anak Dugu,
- Adrain Anak Tandang,
- BS Utot Anak Tanggang,
- 900557 Dampi Anak Berain
- 900441 Janggak Anak Ingkoi.
Sebanyak enam pasukan telah ditugaskan untuk mengali semula kubur-kubur ini yang terletak di Alor Star, Kedah; Batu Gajah dan Kemunting di Perak; Cheras, Kuala Lumpur; Terendak, Melaka dan Keranji di Singapura, sebelum dikebumikan semula pada 27 Julai ini.
“Dijadualkan pada 25 Julai ini, kesemua rangka mendiang ‘Pahlawan Gagah Berani’ ini akan dikumpulkan di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur sebagai tanda penghormatan kepada mereka sebelum dibawa ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada hari berikutnya (26 Julai) untuk diterbangkan dengan pesawat Hercules Charlie.
“Rangka-rangka ini akan dikebumikan semula di tapak yang disediakan dalam satu upacara pada 27 Julai di tapak perkuburan yang telah disediakan,” katanya.