Sikap rakyat Sarawak dipuji
by Agnes Tugong. Utusan Borneo 8 Disember 2012, Sabtu
Sarawak bebas aktiviti pemerdagangan, baik terhadap pembantu rumah IndonesiaKUCHING: Sarawak bebas daripada aktiviti pemerdagangan dan penderaan wanita warga asing khususnya membabitkan pembantu rumah dari Indonesia.
DJOKO
Perkembangan positif ini dinyatakan sendiri oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia, Djoko Harjanto ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Stutong di sini, semalam.
Menurut Djoko, kes-kes sedemikian tidak pernah berlaku di negeri ini yang didorong oleh sikap mengambil berat kerajaan negeri terhadap tenaga kerja dari Indonesia termasuk di kalangan pembantu rumah.
“Warga Indonesia yang memasuki Sarawak dan Malaysia amnya tidak hanya bekerja sebagai pembantu rumah, bahkan menjadi kekuatan utama dalam aspek pembangunan ekonomi di negeri dan negara ini.
“Justeru, insiden yang berlaku di Semenanjung Malaysia baru-baru ini di mana 105 orang wanita warga asing dikurung serta dipaksa bekerja tanpa bayaran amat menakutkan pihak Indonesia dan berharap ia tidak akan berlaku,” katanya.
Tambah Djoko, pembantu rumah sama ada warga Indonesia atau sebaliknya juga adalah manusia, justeru tidak wajar mereka diperlakukan seperti itu.
“Bayangkan jika orang Malaysia diperlakukan dan dilayan seperti itu. Saya pasti perbuatan itu tidak akan dapat diterima dan orang Malaysia juga akan marah.
“Pembantu rumah adalah dari kalangan bukan intelektual (bijak pandai). Sebab itu mereka menjadi pembantu rumah. Justeru untuk berkomunikasi dengan golongan bukan intelektual adalah memerlukan kesabaran dan bukannya penindasan,” katanya pada sesi temu ramah yang turut dihadiri oleh Konsul Republik Indonesia, Bedjo Santoso.
Bercakap mengenai insiden tersebut, Jabatan Imigresen Selangor Cawangan Pelabuhan Klang Sabtu lepas menyelamatkan 105 warga asing yang dikurung di premis empat tingkat sebuah syarikat agensi pembantu rumah di Bandar Baharu Klang.
Meskipun ia tidak berlaku di Sarawak, namun ia turut menimbulkan kebimbangan daripada Konsulat Republik Indonesia di sini yang mana mereka tidak mahu perkara sama berlaku di negeri ini.
Sementara itu, Djoko berkata aktiviti penguatkuasaan antara pemerintah Indonesia dan Malaysia perlu dilaksanakan secara berintegriti bagi menyekat kemasukan warga asing bagi tujuan bekerja secara haram.
Beliau berkata, sekatan perlu dilakukan ke atas laluan tidak rasmi yang menjadi pintu keluar masuk antara kedua-dua wilayah itu.
Katanya, jika perkara itu tidak diambil perhatian, masalah membabitkan pemerdagangan dan penderaan warga asing untuk bekerja secara paksa tanpa bayaran tidak mungkin akan selesai.
“Masalah seperti ini timbul berikutan tindakan kedua-dua pihak sama ada warga asing yang ingin bekerja dan agensi pekerjaan yang tidak menggunakan saluran yang betul ketika memohon untuk bekerja di Malaysia.
“Prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi mungkin agak rumit, tetapi ia adalah selamat untuk individu yang ingin bekerja serta majikan daripada tertipu atau terlibat dalam aktiviti tidak sihat ini,” jelasnya.
Tambah Djoko, berikutan insiden-insiden penderaan ke atas pembantu rumah Indonesia, pemerintah Indonesia dan Malaysia telah menghentikan sementara pengambilan pembantu rumah Indonesia pada tahun 2006.
Berikutan itu, seramai kira-kira 20,000 warga Indonesia memasuki Malaysia tanpa perlindungan pada tahun 2009.
“Saya sering menasihatkan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia supaya mengikut peraturan dan mematuhi undang-undang serta peraturan di negara ini.
“Dan bagi pihak Malaysia pula, adalah menjadi harapan kami agar perlindungan diberikan kepada pekerja Indonesia seperti masa kerja tidak melebihi tempoh 8 jam, pemberian cuti sehari seminggu, gaji dimasukkan ke dalam bank serta tidak menahan pasport pekerja,” katanya.
Djoko bagaimanapun berkata, kes-kes seperti penderaan dan pemerdagangan tidak berlaku di Sarawak dan jika ada, ia hanya membabitkan kes kecil seperti gaji tidak dibayar.