DUN Sarawak dibubar 21 Mac
by Patricia Gari. Posted on March 20, 2011, Sunday
Taib umum pembubaran untuk beri laluan kepada pilihan raya negeri ke-10 diadakan
KUCHING:Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam mengumumkan Dewan Undangan Ne-geri (DUN) Sarawak akan dibubar pada 21 Mac ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang ke-10 diadakan.
Beliau berkata tarikh itu telah diperkenan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin ketika beliau melakukan pertemuan empat mata dengan Tun Salahuddin Khamis lepas.
“Saya telah berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri untuk berbincang tentang hal pembubaran DUN kita dan beliau pun bersetuju dengan saya (berhubung tarikh pembubaran).
“Watikah untuk pembubaran DUN diberi iaitu pada 21 Mac ini dan satu salinan akan diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muh-yiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
Taib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Ne-geri berkata tarikh bagi penamaan calon dan pilihan raya negeri akan ditentukan oleh SPR.
“Satu salinan watikah pembubaran DUN negeri akan diberikan kepada SPR. Yang lain saya tidak tahu… yang lain mana kata SPR,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Balingian pada pilihan raya negeri akan datang, Taib dengan pantas menjawab: “Ya sudah tentu (saya akan bertanding).”
Beliau juga tidak menolak akan berundur pada pertengahan penggal DUN akan datang jika semua pihak sudah bersedia dengan peralihan kuasa dan pengganti (beliau) yang sesuai telah dikenal pasti.
“Ya ada kemungkinannya, saya berharap semua orang sudah bersedia (untuk peralihan kuasa).
“Sebenarnya niat saya untuk berundur ialah sejak 2006 tetapi terpaksa saya tangguhkan,” tegasnya.
Sementara itu Najib yang turut diminta mengulas peralihan kuasa pucuk kepimpinan negeri Sarawak berkata peralihan kuasa perlu berlaku secara tersusun dan teratur selain memerlukan sedikit masa untuk menentukan penggantinya.
“Pehin Sri dan saya sudah ada persefahaman bahawa apa yang penting ialah peralihan berlaku secara tersusun dan teratur. Peralihan mesti dilakukan dalam keadaan parti dan kerajaan akan terus stabil dan kuat agar tidak berlaku sesuatu pergolakan.
“Jadi sebab itulah kita mementingkan supaya pihak Pehin Sri mengetuai jentera (BN) dalam pilihan raya ne-geri kali ini,” katanya.
Perdana Menteri dan timbalannya dalam lawatan kerja sehari ke Sarawak.