Program kesihatan, kesejahteraan perlu diperluas ke bahagian lain
Posted on June 11, 2011, Saturday
KUCHING: Inisiatif menganjurkan program kesihatan dan kesejahteraan perlu diperluaskan ke bahagian lain bagi memantapkan pengetahuan tentang gaya hidup sihat kepada rakyat negeri ini.
Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata melalui program sedemikian ia mampu memberi perkongsian pengetahuan terutamanya berkaitan kesejahteraan dan kesihatan.
“Misalnya Ekspo Kesihatan, Kesejahteraan, Kecantikan dan Halal 2011 ini diharap bukan sahaja diadakan di Kuching tetapi di bahagian lain seperti Miri, Bintulu dan Sibu.
“Kementerian ini sentiasa mengalukan usaha sebegini terutamanya forum seperti ini kerana ia boleh memberi kefahaman dan maklumat terkini kepada orang awam terutama perkara berkaitan kesihatan dan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh merasmikan Ekspo Kesihatan, Kesejahteraan, Kecantikan dan Halal 2011 anjuran Eagle Interactive Sdn Bhd di Dewan Pameran Permata di sini, semalam.
Selain itu katanya, ekspo seumpama itu juga harus diperluaskan ke kawasan luar bandar dalam usaha mewujudkan kesedaran tentang kesihatan dan gaya hidup sihat kepada penduduk pedalaman.
Dr Rundi menjelaskan, ini kerana penduduk luar bandar juga mempunyai hak untuk mendapatkan penjagaan kesihatan sama seperti yang lain termasuk golongan istimewa.
Beliau turut menyarankan kepada masyarakat negeri ini agar menitikberatkan tentang kesihatan jika ingin mengekalkan gaya hidup sihat.
Katanya masyarakat perlu mengambil berat tentang tahap tekanan darah serta kandungan gula dalam badan sebagai pencegahan kepada penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan serangan jantung.
Ekspo yang bertemakan ‘Healthy Lifestyle, Wealthy Lifestyle’ bermula semalam hingga esok (12 Jun) merupakan usaha sama antara Eagle dan Jabatan Kesihatan Sarawak serta disokong oleh Perbadanan Herba Malaysia, Biro Konvensyen Sarawak serta Lembaga Pelancongan Sarawak.
Antara aktiviti yang diadakan sempena ekspo yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam itu termasuk seminar mengenai kesihatan, kesejahteraan, kecantikan dan halal oleh doktor dan profesional daripada Parkwayhealth, pemeriksaan kesihatan percuma (Parkwayhealth dan Hospital Umum Sarawak-HUS), kempen derma darah (Bank Darah HUS) dan urutan minyak herba untuk bayi baru lahir dan dewasa (Hong Yang Hoo Pharma Sdn Bhd).
Selain itu pertandingan mewarna dan kesenian untuk kanak-kanak, demonstrasi masakan yang sihat, demonstrasi membuat enzim, cabutan bertuah dan kesemuanya adalah percuma kepada pengunjung.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Eagle Interactive Sdn Bhd Tiong Soon King selaku pengerusi penganjur dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Promosi Kesihatan) Jabatan Kesihatan Negeri Abdul Razak Md Noh.